PIHAK polis diminta menyiasat dengan terperinci pelaku yang menukar nama beberapa tempat di Sabah kepada Filipina dalam aplikasi peta Google Maps baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertamadun kerana ia boleh mengelirukan masyarakat di seluruh dunia mengenai kedudukan sesuatu tempat di Sabah.
"Ini memang mendatangkan banyak keraguan dan kebimbangan kepada masyarakat.
"Ini juga boleh menjerumuskan negeri Sabah kepada satu situasi yang tidak baik iaitu masyarakat luar negara mahu pergi ke Sandakan, apabila dicari dalam Google, lokasi itu dikatakan di Filipina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program bersama peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).
Sejak beberapa hari lepas, netizen dari Sabah mendapati nama beberapa tempat seperti Lapangan Terbang Sandakan dan Pasar Besar Tawau disusuli dengan nama negara Filipina.
Namun, hari ini didapati aplikasi itu telah menukar semula nama lokasi berkenaan dengan membuang nama Filipina.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kinabatangan juga berharap peneroka LKTNS di Suan Lamba memanfaatkan tanah mereka bersama agensi negeri itu untuk menghasilkan tanaman yang mampu meraih pulangan besar.
"LKTNS telah merancang berbagai perkara untuk diterapkan, khususnya kepada peneroka LKTNS untuk membangunkan tanah mereka dengan pertanian," katanya.
"Walaupun di kampung, tetapi kita perlu urbanisasi minda dalam pertanian supaya kita boleh menuju ke tahap yang mampu mengeluarkan kita daripada belenggu kemiskinan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram