Diculik di bilik kecemasan, pesakit dibunuh kejam di luar hospital


  • Benua
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Mangsa ditembak mati di luar hospital. — Gambar hiasan/Agensi

SEKUMPULAN lelaki bersenjata bertindak menyerbu sebuah hospital di pinggir Port-au-Prince, dekat Haiti baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, mereka melarikan seorang pesakit, sebelum menembak mati mangsa di luar hospital.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan, Doctors Without Borders (MSF), pembunuhan itu berlaku di Hospital Raoul Pierre Louis dekat Carrefour, Port-au-Prince.

"Di bilik kecemasan, kumpulan itu menculik seorang pesakit dan membunuhnya dengan kejam di luar hospital," kata MSF dalam satu kenyataan.

Tiada butiran lanjut mengenai suspek atau pesakit.

Polis Haiti juga masih belum memberi sebarang kenyataan, selain enggan memberi komen ketika dihubungi media.

"Ini adalah kejadian kali pertama lelaki bersenjata melakukan serangan sedemikian," kata Michel Alexandre, ketua komunikasi korporat MSF.

Pada masa sama, Alexandre meminta orang ramai untuk menghormati misi dan kakitangan organisasi itu.

Beliau berkata, sekiranya insiden tersebut berulang, organisasi itu terpaksa menutup kemudahan itu buat sementara waktu.

Sebelum ini, sebuah lagi kemudahan MSF di Port-au-Prince ditutup buat sementara waktu selepas berlaku insiden tembakan di kawasan berdekatan.

Pada Jun 2021, sebuah hospital milik MSF menjadi sasaran di Martissant, iaitu kawasan di pinggir selatan Port-au-Prince, yang mana kumpulan pengganas sering bertembung.

Bimbang akan keselamatan, NGO itu pada dua bulan kemudian mengumumkan bahawa hospital itu ditutup selepas 15 tahun beroperasi, sebelum berpindah ke pusat bandar Port-au-Prince.

Haiti telah mengalami krisis politik berpunca daripada pilihan raya umum 2016, yang diburukkan lagi dengan pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada Julai 2021.

Kumpulan bersenjata sewenang-wenangnya meluaskan kuasa mereka di kawasan setinggan negara itu, dengan angka keganasan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram