POLIS menahan enam individu termasuk dua warga Indonesia kerana disyaki terlibat kes penipuan penawaran kerja secara dalam talian dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Polis, Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua yang berusia 20 hingga 31 tahun itu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia.
Beliau berkata, sindiket yang menyasarkan warga Indonesia itu memaklumkan mangsa bahawa mangsa akan ditawarkan kerja sebagai ejen jualan dalam sebuah aplikasi jualan dalam talian dengan syarat mangsa membuat pembelian barang menerusi pautan yang diberikan.
"Selepas beli barang, mangsa kena kongsikan pautan dan memberi ‘like’ atau tanda suka kepada produk yang dibeli dan mangsa perlu buat 10 kali pembelian barang untuk dapatkan komisen,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Amihizam, selepas mangsa mematuhi semua arahan diberikan, sindiket berkenaan akan memaklumkan mangsa bahawa mereka sudah menjadi ejen aplikasi jualan dalam talian itu namun tidak diberi sebarang surat tawaran kerja.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas enam komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan tersebut.
Menurutnya sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak bulan lepas dan kesemua suspek dibayar antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan tidak termasuk empat hingga lima peratus daripada keseluruhan kutipan ‘hasil jualan’ yang dilakukan dalam tempoh sebulan.
Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja secara dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan tidak jelas tetapi menjanjikan pulangan wang yang lumayan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram