Angkara beban hutang kenduri kahwin, pengantin lelaki sanggup merompak bekas majikan


  • Benua
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Suspek (dua dari kiri) mengakui melakukan rompakan selepas dibebani hutang majlis perkahwinannya. — Agensi

DIBEBANI hutang selepas mengadakan kenduri kahwinnya, seorang lelaki berusia 29 tahun sanggup merompak sebuah kedai telefon bimbit di mana lokasi dia berkerja sebelum ini.

Hasil rompakan pada 6 Ogos lalu di Pasar Tambak, Serang, Indonesia itu, suspek melarikan wang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah Serang, Yudha Satria berkata, suspek bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.

"Suspek nekad melakukan rompakan selepas dibebani hutang kerana menganjurkan majlis perkahwinan.

"Suspek telah masuk ke dalam kedai tersebut kira-kira pukul 11.30 malam dan mengacukan pistol mainan serta sebilah parang kepada mangsa.

"Mangsa yang ketakutan telah memberikan suspek wang berjumlah RM30,000," katanya.

Menurut Yudha, operasi memburu suspek mula dilakukan selepas memperoleh maklumat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Hasil siasatan kemudian membawa kepada penangkapan suspek di sebuah rumah di Bekasi, Jawa Barat.

"Selain tangkapan, kita menemukan dua motosikal, dua telefon bimbit, barangan kemas, parang yang digunakan semasa rompakan dan wang yang dipercayai hasil kegiatan jenayah sebelum ini," katanya mengenai kegiatan pengantin lelaki itu.

Tambahnya, suspek juga mengakui yang rompakan tersebut dilakukan berpunca disebabkan ketiadaan wang selepas mengadakan majlis perkahwinan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram