TINDAKAN ibu bapa menghantar anak mereka ke rumah pengasuh seakan-akan tidak lagi selamat, selepas nasib si kecil akan berakhir sama ada dengan kecederaan atau kematian.
Terbaharu, seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuhnya di sebuah kondominium di Taman Cempaka, dekat Ampang, Selangor pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan sedang bekerja.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal daripada pengasuh yang merupakan wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, bayi berkenaan dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buaian berada di muka bayi itu.
"Bayi berkenaan dibawa ke sebuah klinik di Pandan Indah, sebelum dihantar ke Hospital Ampang.
"Semasa tiba di hospital berkenaan, bayi itu didapati sudah tidak bernyawa dan bantuan kecemasan diberikan, tetapi bayi itu menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Beliau berkata, bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.35 petang.
Mohamad Farouk berkata, punca kematian bayi itu sedang disiasat dan pengasuh berkenaan ditahan pada pukul 10.30 malam Khamis di Hospital Ampang.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan permohonan reman wanita tersebut pagi Jumaat, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan bedah siasat ke atas mayat bayi itu akan dilakukan pagi Jumaat di Hospital Ampang.
Sehubungan itu, Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan ke atas kanak-kanak. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram