Akibat gagal pinjam duit untuk isteri bersalin, penoreh getah tikam majikan


  • Benua
  • Ahad, 14 Ogos 2022

Mawardi berada dalam keadaan kritikan dan dirawat di Hospital Langsa selepas ditikam salah seorang pekerjanya. — Agensi

GARA-GARA enggan meminjamkan wang, seorang pemilik kebun getah kini bertarung nyawa di hospital selepas dia cedera parah ditikam salah seorang pekerjanya.

Tragedi berdarah itu berlaku di Dusun Alur Jerok, Kampung Alue Tuwi, Daerah Rantau Selamat, Aceh Timur, Indonesia pada petang Jumaat (12 Ogos 2022).

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah meminta wang sebanyak 500,000 rupiah (RM151.57) daripada mangsa dikenali sebagai Mawardi, 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Rantau Selamat, Ipda T Sulaiman berkata, suspek memberikan alasan mahu mengirim duit tersebut kepada isterinya yang baru bersalin.

Sebelum itu, Mawardi baru memberikan upah bekerja sebanyak 200,000 rupiah (RM60.63)

"Mawardi tidak mempedulikan permintaan suspek sehingga menimbulkan kemarahannya. Dia segera memukul Mawardi dengan parang di kepala secara bertubi-tubi. Mangsa dipukul di pondok kebun getah yang didiaminya sementara,” katanya seperti dipetik InfoAceh.net.

Ipda T Sulaiman berkata, selepas mencederakan majikannya, suspek terus melarikan diri dan mencuri wang berjumlah 1.5 juta rupiah (RM454.71) dan sebuah motosikal jenis Honda Revo berwarna merah milik mangsa.

"Kami sedang mengendalikan kes dan pelaku kini berada dalam senarai dikehendaki polis," katanya sambil memberitahu, suspek masih belum dapat ditangkap setakat ini.

Tambahnya, Mawardi yang berlumuran darah berjalan kira-kira 1 kilometer ke kawasan perumahan penduduk Kampung Alue Tuwi untuk mendapatkan pertolongan.

"Penduduk yang melihat mangsa segera menghubungi anggota Polis Rantau Seulamat untuk melaporkan kejadian itu,” katanya.

Mawardi kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Rantau Selamat sebelum dirujuk ke Hospital Langsa kerana mengalami luka di kepala dan dahi.

Mangsa turut cedera di menderita luka koyakan di telinga, mengalami lebam di pipi dan beberapa bahagian badan yang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram