YAKINI lokal, merupakan kata-kata yang cukup untuk menggambarkan beberapa pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang masih menyandarkan kepercayaan kepada jurulatih tempatan meski terdapat persaingan daripada pengendali luar.
Memetik portal Semuanya bola, Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee sebelum ini pernah menyatakan bahawa kehadiran ramai jurulatih tempatan dalam saingan musim ini adalah satu perkembangan positif buat bola sepak negara.
Ia bukan sahaja memberi perkembangan positif buat negara malah boleh mengurangkan kos buat sesebuah pasukan lain kerana bayaran mengambil jurulatih luar pasti lebih mahal terutamanya jika individu itu berprofil tinggi.
Sering disangka tidak mampu memberi saingan dengan pengendali luar, musim ini menyaksikan beberapa jurulatih tempatan berjaya menghapuskan pemikiran itu.
Berikut merupakan lima jurulatih tempatan yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang persaingan Liga M musim ini:
1) Ong Kim Swee
Kim Swee juga bekas ketua jurulatih Harimau Muda pada 2009. — Facebook Sabah FC
Pada September 2021, Sabah FC mengumumkan Kim Swee sebagai pengendali baharu menggantikan jurulatih dari Indonesia Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.
Melakukan perubahan besar di Sabah FC, bekas jurulatih Harimau Muda itu berjaya membawa nama-nama besar seperti pemain Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat untuk beraksi di bawah bimbingannya.
Kehebatannya dapat dibuktikan dengan pencapaian Sabah FC yang kini konsisten menduduki dua teratas pada saingan Liga Super dengan 11 kemenangan daripada 15 perlawanan.
Jika berjaya menjadi naib juara Liga Super, jurulatih berusia 51 tahun itu berpeluang membawa Sabah FC mara ke saingan Piala AFC.
2) K Devan
Devan (dua dari kiri) membawa NSFC menjulang trofi Liga Perdana 2021. — MFL
Menjadi jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) buat kali ketiga cukup menunjukkan kehebatan K Devan dalam memberi impak terhadap pemain skuad Jang Hobin.
Bukan hanya berpengalaman melatih negeri kelahirannya, anak kelahiran Bahau, Jempol itu juga merupakan bekas jurulatih Melaka, Selangor, Petaling Jaya City FC, Penang FA dan Johor FC.
Di bawah Devan, NSFC menjulang trofi Liga Perdana 2021 dan sekali gus menamatkan penantian 10 tahun pasukan itu untuk memperoleh trofi.
Terkini, jurulatih berusia 61 tahun itu meletakkan skuad Jang Hobin pada kedudukan ketiga Liga Super dengan mencatat sebanyak 32 mata sepanjang 16 perlawanan.
3) Datuk Dollah Salleh
Dollah Salleh (kanan) merupakan jurulatih sementara Sri Pahang manakala Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal. — Facebook Sri Pahang FC
Digelar sebagai Pablo Dollah dalam kalangan penyokong Tok Gajah, Dollah Salleh menyelamatkan maruah Sri Pahang selepas dilantik menjadi ketua jurulatih sementara sehingga akhir musim ini.
Walaupun kemampuannya diragui pada mulanya, tetapi kehebatan legenda bola sepak kebangsaan itu semakin dihargai penyokong apabila berjaya memperbaiki kedudukan Sri Pahang pada Liga Super musim ini.
Sejak kembali menyertai Sri Pahang pada penghujung Julai lalu, jurulatih berusia 58 tahun itu melakar kemenangan tiga kali berturut-turut dan mencatatkan seri sewaktu menentang Melaka United, Sabtu lalu.
Magis Dollah Salleh menaikkan kedudukan skuad Tok Gajah pada tangga kelima dengan mencatat sebanyak 18 mata setakat ini.
4) Nafuzi Zain
Baru-baru ini nama Nafuzi disebut sebagai bakal mengemudi Kedah. — Facebook TFC
Memulakan kerjaya sebagai pemain Terengganu FA sehingga menabur bakti sebagai ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain merupakan antara pengendali muda yang cukup diyakini di Malaysia.
Bukan hanya dikaitkan dengan beberapa kelab tempatan, Nafuzi dikaitkan sebagai pengganti Brad Maloney sebagai pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia.
Jurulatih berusia 44 tahun itu kini memasuki musim ketiga bersama skuad Penyu berjaya mencipta kenangan manis pada tahun ini apabila layak ke peringkat akhir Piala FA dan bakal berjumpa Johor Darul Takzim (JDT) nanti.
Malah taktikal dan pencapaiannya mengemudi skuad Sang Penyu mendapat perhatian beberapa kelab tempatan termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Aidil Sharin Sahak.
5) Rezal Zambery
Rezal merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang bermain sebagai pemain tengah. — Astro Arena
Dari menjadi pembantu jurulatih sehingga dilantik sebagai ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya merupakan watak penting buat Kelantan FC musim ini.
Rezal yang dilantik menjadi pengendali terbaharu The Red Warriors (TRW) pada 2022 sememangnya tidak mensia-siakan kepercayaan itu dengan meletakkan Kelantan sebagai pendahulu Liga Perdana 2022.
Memperoleh sebanyak 35 mata daripada 15 perlawanan setakat ini, jurulatih berusia 43 tahun itu sudah sebelah kaki melayakkan TRW ke peringkat Liga Super pada musim hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram