Taktik makcik selit syabu celah coli terbongkar


  • Benua
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Nelson menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang ditemui di rumah suspek. — Agensi

SEORANG wanita Indonesia ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Suspek yang diberi pangkal nama D, 47, ditangkap Unit Siasatan Narkotik Polis Sikka Resort di Daerah Alak, Bandaraya Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Ketua Polis Sikka, Nelson Filipe Dias Quintas berkata, suspek ditangkap setelah membeli dadah tersebut daripada seorang lelaki di tepi jalan di jalan raya Maumere-Magepanda.

Menurut Nelson, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang melaporkan ada kegiatan jual beli dadah di kawasan tersebut.

"Pihak polis terus melakukan intipan dan menahan suspek.

"Hasil soal siasat pada wanita tersebut, suspek mengaku membawa dadah tersebut dan menyimpannya dalam coli.

"Namun, dadah tersebut sempat dibuang sebelum polis berjaya menahan suspek.

"Dadah itu kemudiannya dijumpai pihak polis setelah mereka memeriksa kawasan berkenaan," katanya.

Pada masa sama, pihak polis turut menggeledah rumah suspek dan menemui satu lagi paket dadah jenis methamphetamine.

Tambah Nelson lagi, suspek mengaku membeli dadah tersebut dari seorang lelaki yang diberi pangkal nama R.

"Polis telah menahan kedua-dua suspek tersebut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dadah, Methamphetamine, Narkotik,