'Tiga minggu cukup', MFL anggap konsert Billie Eilish bukan masalah


  • Podium
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Penyokong bola sepak tempatan risau sekiranya penganjuran konsert tersebut akan merosakkan kualiti padang SNBJ. — Twitter

PENGANJURAN konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 pada Khamis menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Mana tidaknya, penganjuran konsert pelantun lagu Bad Guy itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu yang juga merupakan venue final Piala FA yang akan berlangsung pada 10 September depan.

Penyokong bola sepak tempatan mempersoalkan kesan tindakan mengadakan konsert itu kerana ia boleh memberi kesan kepada kualiti rumput yang bakal menjadi medan 'pertempuran' di antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada saingan akhir Piala FA nanti.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai penganjuran konsert tersebut.

Tambahnya, jarak masa di antara tarikh konsert yang dihadiri seramai lebih 25,000 peminat itu dengan tarikh berlangsungnya final Piala FA sudah cukup untuk pemulihan sekiranya perlu.

"Kami sedia maklum dengan penganjuran konsert tersebut dan bagaimana pentas itu didirikan. Pentas itu tidak dibina di atas rumput, tetapi di bahagian tepi stadium.

"Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga telah melakukan kerja yang baik apabila menutup bahagian yang dipijak atau dilalui para pengunjung konsert.

Wakil pihak pengurusan TFC dan JDT melakukan pemeriksaan bersama MFL dan PSM pada 12 Ogos lalu. Facebook/ MFL

"Antara faktor yang membuatkan tanggal 10 September dipilih sebagai tarikh final adalah supaya kami di MFL serta pihak PSM mempunyai masa yang secukupnya untuk menyediakan padang mengikut piawaian penganjuran bola sepak.

"Kami ada tiga minggu untuk lakukan itu. Tiga minggu itu adalah masa yang agak lama," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, timbul satu persoalan berkenaan tarikh aksi final tersebut apabila bertembung dengan tarikh konsert kumpulan muzik terkenal Indonesia, Dewa 19 yang bakal diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang terletak bersebelahan SNBJ.

Lokasi venue konsert dan venue perlawanan akhir yang berdekatan itu dijangka akan menyebabkan jalan sesak sekali gus menyukarkan pergerakan pengunjung kedua-dua acara berkenaan.

Berkenaan hal tersebut, Stuart berkata pihaknya sudah membuatkan penilaian menyeluruh dengan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan.

"Ini semua bukan satu kejutan kerana kami telah berbincang dengan teliti setiap aspek yang akan berlaku semasa pertimbangan dibuat.

"PSM bersifat terbuka terhadap MFL dalam semua penyusunan agenda mereka. Ini semua telah diambil kira dalam pembuatan keputusan itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram