Kanak-kanak maut tertembak diri guna senapang bapa


  • Benua
  • Isnin, 25 Jul 2022

Mangsa secara tidak sengaja melepaskan tembakan ke dahinya sendiri. — Gambar hiasan/Agensi

SEORANG kanak-kanak maut tertembak diri sendiri ketika bermain dengan senapang angin milik bapanya di Kabupaten Timor Tengah Selatan (TTS), dekat Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.

Ketua Polis Sektor Batu Putih TTS, Ipda Junedi Lian berkata, kejadian itu berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah.

Ketika kejadian, Junedi berkata, mangsa yang dikenali sebagai DB dijaga oleh abangnya.

Tanpa pengetahuan abangnya, katanya, mangsa ternampak senapang angin itu berada di atas meja, seterusnya mengambil dan menggunakannya untuk bermain.

Katanya lagi, mangsa juga tidak mengetahui bahawa masih terdapat peluru di dalam senjata tersebut.

"Mangsa dipercayai secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari senapang angin ke dahinya sendiri," kata Junedi.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wilayah TTS untuk rawatan.

Disebabkan kecederaan parah, mangsa dirujuk ke Hospital Kupang.

Namun, setibanya di Oesusu, Kecamatan Takari dekat Kabupaten Kupang, mangsa disahkan meninggal dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram