KES kebakaran melibatkan dua unit kedai Mara di Felda Tersang 1 di Raub, Pahang pada awal pagi Sabtu disyaki wujud unsur jenayah dan khianat.
Kejadian yang turut mencederakan seorang pembantu kedai warga Indonesia itu dipercayai bermula dengan kes samun.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, berdasarkan keterangan mangsa berusia 42 tahun itu, seorang lelaki bertopeng memecah masuk premis tersebut melalui bumbung kedai antara pukul 1 hingga 2 pagi.
Menurutnya, suspek yang bersenjatakan besi bertindak menyerang mangsa dengan memukul bahagian kepala hingga cedera.
"Suspek kemudian melarikan wang tunai RM1,700 dari kaunter dan dua utas gelang emas milik mangsa.
"Mangsa turut diikat menggunakan pita pelekat dalam kejadian itu," katanya.
Kama Azural berkata, mangsa ternampak suspek bertindak membakar kedai sebelum melarikan diri.
Beliau berkata, mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu sebelum keluar dari kedai untuk mendapatkan bantuan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.
"Kes disiasat di bawah kesalahan samun hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api di bawah Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram