PASUKAN polis di Ditreskrimum Polda Jawa Timur (Jawa Timur), Indonesia berjaya menahan seorang pencuri motosikal yang dikenali sebagai SO, 25.
Menurutnya, usaha penahanan SO bermula pada 2017 hingga 2018 di kawasan Pasuruan namun gagal walaupun berjaya menembak lelaki itu sebanyak empat kali.
Pihak polis menyatakan, suspek sentiasa berjaya melarikan diri dari pihak polis walaupun mengalami kecederaan akibat tembakan.
Ketua Sub Direktorat III Jatanras Ditreskrimum Polis Jawa Timur AKBP Lintar Mahardoni mengakui kelicikan penjenayah itu.
"Dia ditembak 4 kali kerana melawan pihak berkuasa pada 2015 dan 2018 (ditembak di bahagian lengan) di Puspo, Pasuruan. Di Sidoarjo pun suspek terkena tembakan " katanya.
Akhirnya, SO ditangkap di tempat persembunyiannya di Kampung Gondosuli, Kecamatan Puspo, daerah Pasuruan.
Selain menahan penjenayah, polis turut menemui 45 motosikal yang dicurinya.
Memetik laporan KompasTV, tangkapan suspek itu disahkan oleh Kanit I Subdit III Jatanras Ditreskrimum Polres Jawa Timur AKP Aldo Febrianto pada Jumat.
Susulan penahanan lelaki itu, suspek juga menjelaskan punca dia masih boleh melarikan diri walaupun pihak polis menembaknya sebanyak empat kali.
SO mengakui tidak mempunyai ilmu atau amalan khusus yang membolehkannya melarikan diri walaupun ditembak.
Menurut suspek, perasaan takut dalam diri mendorongnya untuk melarikan diri walaupun mengalami kecederaan.
"Tiada latihan, ditembak empat kali, saya masih boleh berlari. Disebabkan sangat takut, saya boleh berlari," kata suspek.
Selepas berjaya melarikan diri dari serbuan polis, SO memberitahu bahawa dia menggunakan ubat herba yang dibuat sendiri untuk merawat lukanya.
“Saya rawat sendiri luka tembakan itu menggunakan herba,” katanya.
Bukan sahaja motosikal, suspek dan rakannya juga pernah mencuri lembu dan kereta pikap. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram