SEORANG wanita warga emas berusia 75 tahun tidak menyangka sisa hidupnya terpaksa dihabiskan di sebuah reban ayam milik ahli keluarganya.
Wanita yang dikenali dengan nama Masi dari Desa Lampeji, Jember, Indonesia itu terpaksa menahan terik matahari dan kedinginan malam sepanjang tinggal di situ.
Tambah menyedihkan, Masi juga tidak merupakan seorang wanita kurang upaya (OKU) yang tidak boleh berjalan sejak dari kecil.
Bercerita lanjut, Masi berkata, pada awalnya dia tinggal di dalam rumahnya sendiri di belakang reban ayam tersebut.
"Sebenarnya saya sebelum ini tinggal di rumah milik orang tua di belakang reban ini. Namun, adik saya tidak suka dan dia sering menyiram saya dengan air.
"Malah, dia juga telah menukar nama rumah tersebut kepada namanya. Saya pun sudah tidak tahan didera oleh adik sendiri dan memilih untuk tinggal di reban tersebut.
"Malah, ketika di reban juga, mereka juga mengunci rumah untuk mengelak saya masuk," katanya yang sudah tinggal di reban tersebut selama tiga tahun.
Menurut Masi, dia bernasib baik kerana ada saudara mara lain yang selalu datang memberikan makanan dan duit.
Tapi jelasnya, itu pun adik beradik yang lain akan meminta duit tersebut dengan alasan sebagai wang untuk memasak makanannya.
"Memang saya terseksa hidup begini dan sebab itu saya berharap ada pihak yang sudi membina sekurang-kurangnya sebuah pondok kecil untuk saya tinggal di halaman rumah tersebut," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram