Berfoya-foya habiskan wang nafkah, suami cekik isteri sampai mati


  • Benua
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Suspek tidak dapat mengawal emosi dan terus mencekik isterinya sehingga mati

MARAH dengan tindakan isteri yang menghabiskan wang nafkah yang diberikan, seorang lelaki sanggup membunuh pasangan hidupnya itu.

Kejadian itu berlaku di Desa Citamanik, Kecamatan Cigudeg, Kabupaten Bogor, Indonesia.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bogor, Penolong Pesuruhjaya Polis, Siswo Tarigan, suspek yang diberi pangkal nama J,26 membunuh isterinya M, 24 kerana wang itu dibelanjakan untuk berfoya-foya.

"Suspek telah berkali-kali bertanya kepada mangsa tentang wang yang telah diberikan dan mangsa memberitahu suspek wang tersebut telah habis digunakan.

"Jawapan yang diberikan mangsa itu menyebabkan suspek berang dan terus menampar mangsa hingga pengsan," kata Siswo.

Melihat keadaan mangsa kaku selepas ditampar, suspek sempat mengangkat mayat mangsa ke sebuah pondok yang jaraknya 100 meter dari rumah.

Menurut Siswo, suspek kemudiannya bertindak membunuh mangsa setelah melihat isterinya masih hidup.

"Ketika di pondok, suspek melihat mangsa masih bergerak, masih bernyawa.

"Oleh kerana terlalu emosi, suspek terus membunuh mangsa dengan menutup mulut mangsa dan mencekik isterinya untuk memastikan mangsa benar-benar mati,” katanya.

Pada masa sama, suspek juga turut mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tambah Siswo lagi, daripada kenyataan suspek, dia membunuh isterinya kerana tidak dapat menerima hakikat mangsa menghabiskan duit untuk berfoya-foya dan mangsa juga pernah beberapa kali menjalinkan hubungan sulit dengan orang lain," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram