Juruterbang sempat lakukan pendaratan cemas sebelum meninggal dunia


  • Benua
  • Khamis, 21 Jul 2022

Juruterbang pesawat yang meninggal dunia itu ialah Kapten Awalia Boy, berusia 48 tahun.

PENUMPANG dan krew kabin sebuah pesawat Indonesia Citylink Airline terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, Indonesia setelah juruterbang tiba-tiba sakit dan kemudiannya meninggal dunia.

Memetik laporan Detiknews, penerbangan itu dijadualkan berlepas dari Surabaya ke Makassar dan ketika kejadian pesawat itu sudah berlepas namun terpaksa mendarat kembali setelah beberapa minit berada di udara.

Juruterbang pesawat Citilink Indonesia dengan nombor penerbangan QG307 itu jatuh sakit semasa berada di dalam kokpit.

Menurut pegawai Perhubungan Awam PT Angkasa Pura (AP) I Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Yuristo Ardi Hanggoro, pihaknya menerima laporan bahawa terdapat permintaan pendaratan kecemasan daripada Citilink QG307 untuk laluan Surabaya-Makassar.

"Pagi ini kami menerima laporan bahawa terdapat permintaan pendaratan kecemasan daripada Citilink QG307 Surabaya-Makassar kerana ketidakupayaan juruterbang yang sakit di dalam pesawat.

"Pesawat itu berlepas pada pukul 07.10 pagi (waktu Malaysia) dan mendarat semula pada pukul 7.56 pagi," katanya kepada pada Khamis.

Selepas pendaratan cemas, pihak Pejabat Kesihatan Pelabuhan (KPH) merawat juruterbang itu namun setelah mendapat rawatan, beliau dilaporkan meninggal dunia.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh detiknews, juruterbang pesawat yang meninggal dunia itu ialah Kapten Awalia Boy, berusia 48 tahun.

Bagaimanapun, Yuristo enggan mengesahkan nama mangsa namun beliau menyatakan bahawa juruterbang itu meninggal dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram