SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun mengalami kecederaan di kepala selepas diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan geng bermotosikal ketika pulang daripada solat Maghrib di Kabupaten Cianjur, Indonesia pada Sabtu.
Mangsa yang dikenali dengan nama DZM ketika kejadian berada di Jalan Hasyim Ashari bersama dua rakannya.
Namun, secara tiba-tiba muncul puluhan geng bermotosikal yang membawa senjata tajam dan menyerang mereka.
Seorang daripada saksi, Farhan, 24, berkata, serangan itu berlaku secara tiba-tiba dan dua lagi rakan mangsa bernasib baik kerana sempat melarikan diri.
"Kami tidak tahu apa punca serangan dilakukan oleh geng bermotosikal itu. Malangnya seorang mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat senjata tajam," katanya.
Menurut Farhan, mangsa sempat melarikan diri selepas itu sebelum dibawa ke hospital.
Katanya lagi, kecederaan mangsa mungkin lebih parah jika tidak sempat melarikan diri kerana geng tersebut bertindak dengan sangat ganas.
"Apa yang terjadi memang meresahkan penduduk setempat kerana geng tersebut boleh melakukan serangan rawak secara tiba-tiba. Kita mahu mereka segera ditangkap," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Cianjur Kota, Ahmad Suprijatna berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkaitan kes berkenaan dan siasatan sedang dilakukan.
"Kami sedang meneliti semua maklumat dan usaha menangkap kesemua suspek juga sedang dilakukan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram