SEORANG warga emas yang berasal dari Tulungagung, di Jawa Timur, Indonesia terpisah dengan keluarganya selama 30 tahun, selepas ditinggalkan di Sumatera Utara.
Muhadi, 72, berpisah dengan keluarganya pada tahun 1992 ketika ingin ke Malaysia untuk mencari rezeki.
Hasrat Muhadi untuk ke negara jiran dilakukan ketika melalui laluan haram dari perairan Sumatera.
Namun, setibanya di Sumatera, Muhadi terpedaya dengan beberapa individu yang menjemputnya dan meninggalkannya di Tanjung Balai.
Sejak itu, Muhadi yang tidak tahu cara untuk pulang, tidak lagi kembali ke Jawa Timur.
Selama 30 tahun, dia menjalani kehidupan dengan mencari nafkah secara sederhana di Sumatera.
Kisah Muhadi itu akhirnya diketahui oleh seorang anggota polis di Lahuhanbatu, Sumatera yang dikenali sebagai Aiptu Haris Fadillah.
Haris berkata, beliau mengetahui kisah warga emas itu daripada salah seorang kenalannya, yang bekerja di ladang berdekatan dengan tempat tinggal Muhadi.
Pada mulanya, kenalannya itu berasa simpati dengan Muhadi yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok.
"Kawan saya kemudian bertanya kepada orang tua itu tentang asal usulnya sebelum dia menyampaikan kepada saya," kata Haris.
Mendengar kisah itu, Haris kemudian menghubungi rakannya yang juga merupakan anggota polis di Tulungagung.
Rakan polis itu kemudian menghubungkan Haris dengan seorang individu dikenali sebagai Bhabinkamtibmas, yang berkhidmat di kampung asal Muhadi.
Berdasarkan maklumat Haris, Bhabinkamtibmas berjaya menemui salah seorang anak warga emas tersebut, sebelum disahkan oleh Muhadi.
"Selepas saya yakin pengakuan Muhadi benar, saya meminta rakan saya untuk menjemputnya. Kemudian, saya sambungkan panggilan video kepada anaknya dan saya semakin yakin bahawa mereka sudah lama terpisah," katanya.
Haris kemudian melaporkan perkara tersebut kepada Ketua Polis Lahuhanbatu, Asisten Komisioner Anhar Arlia Rangkuti.
Anhar lantas menjemput Muhadi dari Kampung Aek Korsil, Aek Kuo di Labuhanbatu Utara.
"Jadi, dia tiba di Labuhanbatu kerana ingin bekerja di Malaysia, tetapi kawan-kawannya meninggalkannya, sehingga dia tidak tahu cara untuk pulang ke rumah selama 30 tahun," katanya.
Prihatin dengan perkara itu, Anhar menawarkan pembiayaan untuk Muhadi kembali ke Jawa Timur.
Kini, Muhadi menumpang di kediaman rasmi Ketua Polis Lahuhanbatu, sementara menunggu jadual pulang ke Jawa Timur.
Muhadi dijadualkan pulang ke Jawa Timur menerusi penerbangan pada Selasa ini.
"Perjalanan pulang ke Jawa Timur akan diiringi oleh petugas Labuhanbatu. Tadi, kami terpaksa menunggu beberapa jam sebab kami mencari kad pengenalan sebagai syarat untuk menaiki kapal terbang. Selepas dibantu pelbagai pihak, ia akhirnya dapat ditemui," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram