RIUH media sosial di Indonesia apabila tular video satu entiti memakai baju putih seakan-akan pontianak yang dikatakan muncul ketika banjir di Jakarta Timur pada awal bulan ini.
Berdasarkan maklumat yang tersebar, kejadian berkenaan berlaku di kawasan Bungur, Kampung Rambutan, Ciracas, Jakarta Timur.
Difahamkan, entiti itu secara tidak sengaja dirakam oleh penduduk yang sedang merakam video lokasi banjir di lokasi berkenaan.
Menerusi video 25 saat itu, entiti putih yang didakwa pontianak itu kelihatan terapung dan terbang secara perlahan ke arah pokok pisang.
Tangkap layar rakaman entiti seakan-akan pontianak.
Selepas kekecohan berlaku dalam kalangan warganet, pihak polis segera menyiasat kebenaran video tular itu.
Polis sedang mencari maklumat daripada penduduk yang berada di lokasi video tersebut.
Ketua Polis Ciracas, Kompol Jupriono, mendedahkan hasil siasatannya dan memberitahu bahawa video terbabit adalah tidak benar atau satu penipuan.
"Setelah memeriksa video pontianak yang viral, ternyata ia tidak benar," kata Komisioner Jupriono pada Jumaat.
Jelasnya, video tersebut dimuat naik oleh remaja perempuan berusia 13 tahun yang tinggal di kawasan Bungur, Kampung Rambutan, Ciracas, Jakarta Timur.
Remaja yang menyebarkan video kemunculan entiti itu berkata, dia perolehinya daripada keluarganya yang kemudian dimuat naik semula di media sosialnya.
"Video itu diperoleh daripada status abangnya. Kemudian remaja itu memuat naik ke Instagram," katanya.
Polis mengingatkan rakyat supaya berhati-hati memuat naik kandungan di media sosial kerana penyebaran video palsu boleh membawa risiko jenayah.
“Saya menggesa masyrakat menggunakan media sosial dengan bijak dan menghindari dari menyebar berita palsu. Jika melakukan perkara itu, mereka berisiko berdepan dengan undang-undang,” kata Kompol Jupriono. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram