Gara-gara telefon bimbit disamun, wanita hilang nyawa


  • Benua
  • Sabtu, 25 Jun 2022

Suspek memasuki pintu belakang bilik mangsa ketika cubaan menyamun. — Getty Images

SEORANG wanita maut selepas ditikam oleh seorang pencuri di bilik asramanya di Serpong Utara, dekat Tangerang Selatan, Indonesia pada Sabtu.

Ketua Polis Tangerang Selatan, Asisten Komisioner Sarly Sollu berkata, mangsa yang dikenali sebagai SL, 35, menjerit meminta tolong selepas suspek memasuki bilik asramanya melalui pintu belakang.

Katanya, ketika kejadian, suspek berjaya mencuri telefon bimbit milik mangsa.

Jeritan mangsa meminta tolong didengari oleh jirannya yang berada di lokasi kejadian.

Saksi yang mendengar jeritan itu bergegas ke bilik mangsa dan ketika ditemui, mangsa dilihat berlumuran darah dan berada dalam keadaan parah.

"Ketika itu, mangsa sudah berada di hadapan pintu biliknya dalam keadaan berlumuran darah," kata Sarly.

Tiga saksi yang berada di lokasi segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis, manakala lokasi kejadian berada dalam pengawasan polis.

"Ketika lokasi kejadian diperiksa, darah berada di lantai dalam bilik hingga ke hadapan pintu bilik mangsa. Pemegang dan bilah mata pisau turut ditemui di dalam bilik tersebut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Tangerang Selatan, Asisten Komisioner Aldo Primanda Putra berkata, mangsa masih hidup ketika ditemui penduduk setempat.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

"Hospital kekurangan bekalan darah dan oleh sebab itu mangsa tidak dapat diselamatkan.

Aldo berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat objek tajam pada badannya dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh.

"Ini yang kita tahu. Suspek masih diburu," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tikam, bunuh, telefon bimbit, samun, asrama