SERAMAI empat orang cedera parah, manakala beberapa lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan 17 buah kenderaan di Kilometer 92, plaza tol Cipularang, di Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Sebuah video tular memaparkan, beberapa buah kereta dilihat remuk di bahagian hadapan dan belakang.
Sehingga kini, punca kemalangan itu masih belum dikenal pasti, namun ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di lokasi kejadian.
"Dianggarkan kira-kira 17 kenderaan terlibat, namun masih belum ada laporan kematian dan diharapkan tiada yang maut," kata Ketua Patroli Jalan Raya (PJR) Tol Cipularang, Asisten Komisioner Denny Catur.
Sebelum ini, kemalangan sering berlaku di lebuh raya dan antara punca yang dikenal pasti termasuk tidak menjaga jarak antara kenderaan.
Menurut Agensi Pengurusan Jalan Tol (BPJT), selain menjaga jarak selamat, seseorang pemandu juga perlu memahami formula tiga saat di jalan raya.
Formula tersebut diwujudkan untuk meminimumkan dan mengelakkan bahaya kemalangan di jalan tol.
Menerusi formula itu, pemandu perlu mengekalkan jarak tiga saat.
Caranya mudah, cari penanda aras yang cukup besar dan tidak bergerak di sepanjang jalan seperti tiang dan pokok.
Apabila kereta di hadapan melepasi tanda aras yang ditetapkan, mula kiraan secara senyap dengan nombor 1000 dan 1, 1000 dan 2, 1000 dan 3.
Pastikan kereta anda melepasi penanda aras yang sama pada penghujung kiraan, jika betul maka anda telah menemui jarak selamat iaitu jarak tiga saat.
"Pengiraan formula tiga saat itu diharap dapat mengekalkan jarak selamat ketika seseorang brek secara mengejut, supaya kenderaan tidak terus melanggar kenderaan di hadapan, begitu juga kenderaan di belakang yang turut mengekalkan jarak selamat," kata BPJT. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram