Padah terlibat rasuah, 57 hakim dipecat serta merta


  • Benua
  • Khamis, 02 Jun 2022

PEMECATAN 57 hakim dilakukan serta merta kerana didapati terlibat rasuah dan melindungi pengganas.

PRESIDEN Tunisia, Kais Saied memecat berpuluh-puluh hakim dan menuduh mereka terlibat rasuah serta melindungi pengganas.

Bercakap semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu, Saied berkata, keputusannya itu dibuat kerana mendapati hakim-hakim itu mengganggu siasatan kes pengganas, melindungi suspek pengganas, dan rasuah kewangan.

Sejurus selepas mesyuarat kabinet itu, surat presiden yang dikeluarkan mengumumkan pemecatan 57 hakim.

Antara yang dipecat ialah bekas Ketua Majlis Kehakiman Tertinggi, Youssef Bouzaker dan Bachir Akremi. Penyokong Saied mendakwa, kedua-dua hakim itu mempunyai hubungan yang terlalu rapat dengan Parti Ennahda.

Tunisia mengalami krisis politik sejak 25 Julai tahun lalu, apabila Saied memecat kerajaan, menggantung parlimen, dan mengambil alih kuasa eksekutif, satu tindakan yang dikritik pihak lawan dan disifatkan sebagai 'rampasan kuasa'.

Beliau kemudian membubarkan parlimen pada Mac selepas Ahli Parlimen mengadakan sesi untuk membatalkan langkahnya itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram