MESKIPUN masih belum didedahkan dengan silibus mekatronik, ia tidak menghalang dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Felda) Seri Sendayan, Nilai, Negeri Sembilan untuk bergelar juara pertandingan robotik anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) Politeknik Nilai.
Putra Danish Haikal Azan Huzzaie dan Muhammad Zaim Eddi Hamka masing-masing berusia 14 tahun, memanfaatkan sebaik mungkin sesi pembelajaran selama dua hari untuk belajar pengekodan (coding) dan pemasangan robotik dengan tepat di bawah bimbingan fasilitator dari program Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Nilai.
Pada pertandingan diadakan sempena sempena Hari Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kedua-dua pelajar tingkatan dua yang mewakili kumpulan Hex Dimension berhasil mencipta robot, sekali gus mengalahkan pencabar terdekat mereka dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Enstek.
Pada pertandingan akhir, setiap pasukan terdiri daripada 'pilot' dan 'fetcher' diberikan zon perang tersendiri, dan dalam masa lapan minit robot ciptaan mereka menyalakan lampu di menara lebih banyak berbanding pasukan lawan.
"Kami adalah pelajar tingkatan dua dari bidang Asas Sains Komputer (ASK) dan belum didedahkan lagi dengan silibus mekatronik iaitu silibus pelajar tingkatan tiga.
Model robotik yang dicipta dan dikendalikan oleh Putra Danish Haikal dan Muhammad Zaim. — Bernama
"Sebelum ini kami tidak berapa tahu tentang coding. Tapi selepas menyertai pertandingan ini, kami lebih jelas dengan cara penggunaan dan fungsi coding, sistem kawalan, mencipta robot dan teknik mengendalikannya,” kata Putra Danish Haikal.
STEM Robotic Camp sempena Hari STEM Robotik JKM berlangsung tiga hari bermula 30 Mei disertai 10 pasukan terdiri daripada 20 orang pelajar (satu pasukan dua orang pelajar) dari sekolah menengah sekitar daerah Labu, Nilai dan Enstek.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Nilai Wan Zulkifly Wan Zakaria berkata, program itu adalah penganjuran pertama berkaitan STEM Robotik di institusi tersebut.
Katanya, program tersebut bertujuan untuk mengalakkan dan membangunkan potensi pelajar sekolah dalam subjek berkaitan STEM sejajar dengan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkasakan STEM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
"Objektifnya untuk memberi pengetahuan berkaitan teknologi dan keperluan untuk memahirkan diri dengan pelbagai peralatan Internet of Thing (IoT) di samping memastikan konsep kelestarian diperkasa serta membangunkan idea dan inovasi terhadap produk demi kebaikan persekitaran,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram