Fokus hubungan artis, media Korea Selatan di zon Asia Tenggara, Uzurocks-WebTVAsia jalin kerjasama


  • Bizz
  • Khamis, 02 Jun 2022

Uzurocks juga menghasilkan pelbagai kandungan asli untuk selebriti terkenal seperti Ji Suk-jin daripada ‘Running Man’.

SYARIKAT hiburan media digital dan e-dagang Korea Selatan, Uzurocks telah menjalin kerjasama dengan WebTVAsia dengan tujuan meluaskan lagi empayar perniagaannya di Asia Tenggara.

Kedua-dua syarikat media digital itu telah menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menghasilkan perjanjian strategik demi pembangunan syarikat yang melopori ekonomi Pan-Asia secara menyeluruh.

Perjanjian kedua syarikat itu memfokuskan untuk mengembangkan dan merapatkan hubungan artis-artis dan media Korea Selatan di sekitar zon Asia Tenggara dan wilayah -wilayah di China, membangunkan kandungan asli, solusi pemasaran bagi jenama rentas sempadan, perdagangan sosial, perniagaan rangkaian berbilang saluran, dan menyalurkan kemudahan kerjasama antara syarikat penerbitan muzik dan filem tempatan negara di Asia Tenggara dan Korea.

Sebelum ini, Uzurocks berjaya memperoleh kejayaannya dalam industri media digital dengan menjadi syarikat rangkaian berbilang saluran utama dalam aplikasi TikTok di Korea Selatan.

Kandungan TikTok pelakon wanita Korea daripada siri Netflix 'Sweet Home', Lee Si-young merupakan salah satu terbitan Uzurocks dan kini akaun Si-young mencapai 17.3 juta pengikut di media sosial berkenaan.

Selain pelakon wanita itu, Uzurocks juga menghasilkan pelbagai kandungan asli untuk selebriti terkenal seperti Ji Suk-jin daripada ‘Running Man’, Din Din daripada ‘2 Days & 1 Night’, dan Lee Ji-Hye, bekas ahli kumpulan K-pop ‘S#ARP’.

dindin

Din Din daripada ‘2 Days & 1 Night’ antara artis yang menggunakan khidmat Uzurocks untuk menghasilkan pelbagai kandungan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Uzurocks, Eddie Park berkata, syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan dalam pemasaran jenama, perdagangan sosial, barangan, pengeluaran kandungan asal OTT dan teknologi.

"Saya memutuskan untuk bekerjasama dengan WebTVAsia kerana kami mempunyai beberapa persamaan dan juga perbezaan yang boleh dipertingkatkan lagi. Baru-baru ini, Uzurocks juga menjalinkan bekerjasama dengan syarikat ternama seperti Netflix, SM Entertainment dan SBS," katanya.

Dalam pada itu, bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WebTVAsia, Fred Chong berkata, kerjasama berkenaan tidak hanya terhad kepada pengembangan merentas sempadan bagi kandungan dan bintang sedia ada, juga merupakan sebuah model perniagaan ekonomi pencipta baharu.

"Kami berdua cuba untuk menggabungkan teknologi Web 3.0 untuk memberikan autonomi yang lebih dan peluang kepada pencipta kandungan. Kerjasama kami tidak akan terhad kepada perniagaan Web 2.0 yang sedia ada.

"Uzurocks boleh menjangkau jutaan penduduk Asia di luar Korea Selatan, dan kita boleh memanfaatkan industri hiburan paling maju di Asia. Perkongsian ini boleh mewujudkan sinergi di luar imaginasi kami," katanya.

mou

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Uzurocks, Eddie Park sedang berjabat tangan bersama Ketua Pegawai Operasi WebTVAsia / Ketua Pegawai Eksekutif Singapura, Victor Chin, selepas menandatangani MoU di ibu pejabat WebTVAsia, Singapura.

Untuk rekod, WebTVAsia mempunyai rekod prestasi perniagaan yang lama dalam pengembangan perniagaan rentas sempadan serta bakat dan kerjasama media di Korea.

Selain itu, pada 2017 syarikat berkenaan berjaya melancarkan siri animasi 3D mega hit 'BoBoiBoy', dengan memperoleh perjanjian pemerolehan eksklusif dengan salah satu platform video terbesar China iaitu Tencent Video, dengan lebih 129 juta pelanggan.

Malah, baru-baru ini pihak WebTVAsia turut menjalin kerjasama dengan Youtube bagi menganjurkan konsert dalam talian maya, 'One Love Asia' atas tujuan mengumpul derma untuk kanak-kanak yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Konsert itu diadakan dengan sokongan Unicef dan dimeriahkan dengan persembahan dari 50 bintang popular seperti Duta Serantau Unicef, Choi SiWon,​ Super Junior, Apink Jung Eun-Ji, Namewee, dan ramai lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram