IKAN berenang sepanjang hari tidak kira siang atau malam dan ramai tertanya-tanya adakah ikan pernah tidur?
Menjawab persoalan itu, apa kata kita ketahui fakta menarik mengenainya.
Ikan juga tidur tetapi tidak seperti haiwan lain di darat.
Malahan, kebanyakan ikan berehat dengan mengurangkan aktiviti dalam air.
Bagi penggemar hidupan laut ini, suka dimaklumkan bahawa kebanyakan ikan tidur dengan mata terbuka kerana ia tidak mempunyai kelopak mata, sekali gus menjawab persoalan sama ada ikan tidur atau tidak.
"Penyelidikan menunjukkan bahawa ikan dapat mengurangkan aktiviti dan kadar metabolismenya.
"Pada masa sama, ia mampu untuk tetap berwaspada terhadap ancaman berbahaya," memetik laman web Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional Amerika Syarikat (NOAA).
"Ketika tidur, sesetengah ikan terapung di tempatnya dan ada yang bersembunyi di lokasi selamat seperti lumpur atau karang.
"Tempoh tidur ikan berfungsi untuk pemulihan, sama seperti jangkamasa tidur manusia," jelas NOAA.
Menurut laman web Wonderopolis.org, ikan masih perlu bergerak semasa tidur.
"Ini supaya aliran air dapat melepasi insang dan mengekalkan tahap oksigen yang diperlukan dalam badan," jelasnya.
Bagi sesetengah ikan yang lebih besar, ia mungkin berenang pada kadar yang lebih perlahan ketika sedang tidur manakala ikan yang lebih kecil mungkin hanya menggerakkan sirip sekali-sekala. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram