KEPERCAYAAN manusia terhadap perkara karut atau khurafat bukanlah satu perkara baharu sebaliknya ia berlaku sejak zaman Arab jahiliah lagi.
Antara kepercayaan orang Arab pada masa itu mereka percaya terdapat dalam satu bulan iaitu Safar yang boleh memberi nasib malang kepada manusia.
Dalam masyarakat Melayu zaman dahulu, amalan mandi Safar di pantai dilakukan untuk menolak bala yang dibuat pada hari Rabu terakhir bulan berkenaan.
Malah ketaksuban terhadap kepercayaan itu dijadikan lirik lagu Kereta Lembu nyanyian Allahyarham Saloma yang berbunyi: “Mari oh mari... kita naik beramai-ramai, pergi bertemasya mandi Safar di pantai.”
Selain itu, orang Melayu juga percaya jika hendak masuk hutan, perlu minta izin daripada ‘tok nenek’ agar jangan mengganggu cucu nak lalu.
Bercerita soal khurafat ini, terdapat satu perkongsian video warga Indonesia yang tular iaitu individu bernama Rara Istiani Wulandari ataupun yang dikenali sebagai Mbak Rara mendakwa dirinya ialah seorang bomoh ataupun pawang hujan setelah berapa kali dilihat bertugas untuk 'menghalau' hujan di beberapa acara.
Dia dikatakan mampu menghentikan hujan agar tidak turun di tempat-tempat tertentu.
Sebagai pawang hujan, antara acara besar yang pernah dihadiri oleh wanita Indonesia itu ialah temasya Sukan Asia di Palembang, Indonesia pada 2018 dan yang terbaharu saingan MotoGP Mandalika 2022.
Dia menggunakan sebiji mangkuk dan mengetuknya sambil bibir membaca mantera-mantera untuk 'menghalau' hujan sebagaimana kelihatan dalam video yang tular itu.
Aksi Rara itu turut mendapat reaksi pendakwah terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan jika seseorang melakukan ritual dengan membuat perkara mengarut untuk memberhentikan hujan maka hukumnya adalah haram.
Selain itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, usaha yang boleh dilakukan oleh umat Islam untuk memberhentikan hujan yang sangat lebat ialah dengan berdoa sebagaimana Rasulullah SAW pernah lakukan semasa hidupnya.
"Nabi pernah diminta oleh para sahabat, ya Rasulullah, tumbuh-tumbuhan habis kering, tolonglah minta doa untuk hujan. Lalu Nabi pun berdoa.
"Kata sahabat, Nabi letak saja tangan terus hujan. Dan bila hujan jadi banjir serta merta.
"Bila banyak sangat air, minta berhentikan hujan pula. Maka Nabi berdoa, lalu berhenti pun hujan," katanya.
Dalam pada itu, kisah Nabi memohon hujan itu ditulis dalam kitab Hisn al-Muslim dan doa itu dibaca oleh Rasulullah SAW dalam doa Istisqa’ (iaitu solat memohon hujan).
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Ya ALLAH turunkanlah hujan kepada kami, Ya ALLAH turunkanlah hujan kepada kami, Ya ALLAH turunkanlah hujan kepada kami.” - [Riwayat al-Bukhari (1014)].
Nabi SAW membaca doa itu ketika Baginda SAW sedang berkhutbah apabila seseorang datang mengadu berkaitan hujan tidak turun dalam tempoh yang begitu lama kepada Baginda SAW.
Lalu Nabi SAW berdoa dengan doa ini yang mana ia bermaksud agar ALLAH utusan hujan kepada mereka.
Justeru, hendaklah difahami apa jua amalan bersifat karut termasuklah mempercayai kebolehan bomoh kononnya mengubah sesuatu merupakan satu dosa besar dan boleh jatuh syirik iaitu menyekutukan Allah.
Ia turut disebut dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu?” Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan; Ya ALLAH, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan melainkan yang telah Engkau takdirkan dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau.” – [Hadis Riwayat Ahmad, no. 6748].
Umat Islam harus mempercayai tiada kuasa yang lebih tinggi melainkan ALLAH dan kepada Dia tempat makhluk memohon pertolongan seperti mana maksud ayat 5 surah Al-Fatihah yang selalu dibaca dalam solat iaitu: Engkaulah sahaja (Ya ALLAH) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram