PEMAIN muda sensasi negara, Arif Aiman Mohd Hanapi menyifatkan dirinya seorang pemain yang tidak mudah berpuas hati dengan prestasinya di padang.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 itu berkata, perkara tersebut membuatkan dirinya tidak dapat berhenti berusaha untuk beraksi pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
"Saya akan mencuba sampai saya berpuas hati," katanya.
Pada perlawanan menentang Hong Kong, meskipun tidak mencetak nama sebagai penjaring, Arif Aiman tetap mencuri tumpuan apabila sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan menerusi larian pantas dan hantaran lintang berbahaya ke kawasan kotak penalti.
Namun, tonggak jentera serangan Johor Darul Takzim (JDT) itu enggan dilabel sebagai pemain harapan dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.
Katanya, dia adalah individu biasa dan gelaran pemain harapan itu harus diberikan kepada semua pemain bukannya secara perseorangan.
Berusia 20 tahun, Arif Aiman adalah pemain termuda disenaraikan Pan-gon ke kem latihan pusat dalam usaha membentuk pasukan terkuat bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula minggu depan.
Justeru, beliau berkata, segala kekurangan akan diperbaiki untuk terus mengekalkan prestasi pada tahap optimum dalam tiga aksi getir saingan Kumpulan E kempen kelayakan menentang Turkmenistan 8 Jun depan, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).
"Saya harap perlawanan dengan Hong Kong sebagai permulaan untuk saya persiapkan diri menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 nanti," katanya.
Pada masa sama, Arif Aiman berkata, tiada rahsia di sebalik kematangan dan ketenangan yang ditonjolkan dalam permainannya biarpun menjadi pemain termuda beraksi untuk skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
"Sebab saya anggap bola sepak macam satu hobi, memang saya minat dari dulu dan tidak anggap ia satu bebanan dan ini kerja yang saya hendak dari dulu lagi," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram