HAMPIR dua tahun selepas menjadi mangsa serangan asid yang hampir menamatkan kariernya, tonggak Selangor FC iaitu Faisal Halim kini menikmati musim terbaik dalam kehidupan profesionalnya.
Selepas melalui tempoh pemulihan, rehabilitasi dan kaunseling selama beberapa bulan susulan tragedi di sebuah pusat beli-belah pada Mei 2024, kapten Red Giants itu bangkit dengan kempen paling produktif setakat ini.
Pada Rabu, Faisal mempamerkan aksi mengagumkan apabila meledak dua gol untuk memimpin Selangor mencatat kemenangan 2-0 ke atas wakil Vietnam, Cong An Hanoi dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan Kelab Asean Piala Shopee di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.
BACA LAGI: Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan
BACA LAGI: Dapat robek gawang Selangor, bek Kelantan TRW optimis peluang masih ada
Kemenangan itu turut menandakan kejayaan kelima berturut-turut jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dalam semua pertandingan sejak mengambil alih pasukan.
Walaupun menguasai kurang peratusan penguasaan bola, Selangor tampak lebih tajam di bahagian serangan dan tenang ketika detik penting. Separuh masa kedua menjadi milik pemain yang mesra dengan sapaan Mickey itu.
Pemain berusia 28 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-59 selepas pantas menyambar bola muntah hasil percubaan penjaga gol Filip Nguyen yang sebelum itu menafikan rembatan pemain sayap, Alvin Fortes.
Faisal melengkapkan jaringan kedua peribadi pada minit ke-68 menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran pemain tengah Perancis, Hugo Boumous.
"Pemain-pemain melakukan tugas dengan sangat baik. Semua bekerja keras.
"Kami tahu kemenangan ini penting. Jaringan tidak menjadi keutamaan, sebaliknya tiga mata. Kami akan menikmati keputusan ini dan kemudian fokus kepada perlawanan seterusnya," katanya.
Pemain kebangsaan berkenaan turut menegaskan bahawa kekuatan utama pasukan terletak pada usaha berpasukan.
"Saya hanya cuba bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk pasukan. Gol memang sesuatu yang menggembirakan, tetapi kemenangan lebih penting.
"Apabila kami berjuang bersama, kami dapat lebih tenaga. Walaupun penat atau tidak menguasai bola, kami terus berlari dan saling mempercayai," jelasnya.
Musim ini, Faisal telah merekodkan 17 gol dan sembilan bantuan jaringan daripada 31 perlawanan dalam semua pertandingan, pencapaian terbaiknya sejak bergelar pemain profesional pada 2015.
"Saya akan beri yang terbaik dalam setiap perlawanan. Sama ada menjaringkan gol atau tidak, yang penting membantu pasukan meraih tiga mata," ujar Faisal.
Skuad Gergasi Merah kini mendahului Kumpulan A dengan lapan mata daripada empat perlawanan, satu mata di hadapan kelab Thailand, BG Pathum United.
Red Giants akan menutup kempen peringkat kumpulan menentang BG Pathum di MBPJ dengan kemenangan bakal menjamin tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, Pan-gon memuji mentaliti pemain-pemainnya selain menonjolkan pengaruh besar Faisal dalam perlawanan tersebut.
"Kami mencipta banyak peluang tetapi kurang tajam pada separuh masa pertama.
"Pada separuh masa kedua, kami lebih bersemangat. Faisal mempamerkan kualitinya, penyudahnya mengubah perlawanan," kata Pan-gon.
Beliau turut mengingatkan pasukannya agar tidak terlalu selesa.
"Kejohanan ini belum berakhir. Kami perlu kekal tenang dan membuat persiapan rapi menentang BG Pathum. Kemenangan seperti ini perlu menjadi budaya dan DNA pasukan," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
