KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menjalankan proses penilaian terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula 1 Februari.
Menurut timbalan setiausaha agungnya, Vahid Kardany, proses yang dijalankan secara komprehensif itu adalah untuk merungkai jurang yang berlaku dalam persatuan itu termasuk 14, 15 perkara dianggap sebagai "zon merah".
Katanya, proses itu akan dilakukan selama tiga bulan dengan kerjasama rapat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan soal siasat akan dilakukan terhadap pengurusan FAM dan staf mereka.
BACA LAGI: Akaun media sosial digodam, ‘Bruno Fernandes’ sangkal kenyataan rasmi Man United
BACA LAGI: 'Satu piala, Insya-ALLAH', rekomen TMJ buktikan kredibiliti Safuwan Baharudin bersama Selangor

Vahid Karnady.
"Dalam masa tempoh tiga bulan, bermula 1 Februari, kami akan menjalankan penilaian secara komprehensif. Kami menumpukan kepada 14, 15 perkara tertentu.
"Ia termasuklah perkara berkenaan pentadbiran dan perundangan seperti statut, cara pemilihan dan prosedur dalaman, serta proses operasi merangkumi kewangan, sumber manusia, peraturan berorganisasi serta aspek komersial seperti pemasaran dan penjenamaan," katanya.
Menurut Kardany, proses penilaian itu dibuat bukannya untuk melakukan perubahan secara besar-besaran terhadap FAM sebaliknya untuk memperbaiki persatuan itu.
Sekiranya berlaku usaha untuk mereformasikan FAM, AFC akan mempersembahkan perkara tersebut kepada kongres badan induk tersebut untuk dipertimbangkan.
"Sasaran kami adalah untuk menambah baik setiap aspek persatuan. Menerusi penilaian ini, kami dapat mengenal pasti 'zon merah' yang memerlukan campur tangan segera, termasuklah perkara positif yang tidak perlu diubah.
"Selepas penilaian, perubahan yang dirasakan perlu akan dicadangkan kepada kongres.
"Kami berharap dibawah panduan setiausaha agung, ditambah dengan pengalaman oleh FIFA, kami dapat memastikan isu yang berlaku pada masa lalu tidak berulang lagi. Kami komited untuk memastikan orang awam sentiasa mendapat informasi sepanjang proses ini," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
