Setiausaha Agung AFC puji peletakan jawatan mega Exco FAM, sedia bantu cari pemimpin baharu


  • Podium
  • Khamis, 29 Jan 2026

FAM mengumumkan kesemua Exco badan induk itu bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela meletak jawatan mereka dengan serta-merta pada Rabu. — Facebook/FAM

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) bersedia membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali ke landasan yang betul agar lebih bersedia menghadapi 100 tahun akan datang, susulan langkah tegas badan induk itu untuk merombak semula kepimpinan dan struktur tadbir urusnya.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata, asas FAM masih kukuh, sambil menegaskan bahawa pembaharuan yang dilaksanakan bertujuan untuk memperkukuh organisasi dan bukannya membaiki sistem yang rosak.

BACA LAGI: Bekas orang kuat bola Perak dakwa silap Daud Bakar melabur dalam KDA FC

BACA LAGI: Sang Kenari seolah tiada hala tuju, sudah tiba masanya berehatlah Daud Bakar

"FAM masih sebuah organisasi yang kukuh dan bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada September ini. Tidak semuanya salah. 

"Namun terdapat kelemahan yang perlu diatasi. Objektif kami adalah untuk memodenkan FAM dan memastikan mereka benar-benar bersedia untuk 100 tahun akan datang bola sepak Malaysia," kata Windsor. 

Windsor turut memuji Jawatankuasa Eksekutif FAM atas keputusan meletakkan jawatan secara kolektif, yang disifatkannya sebagai satu tindakan tidak mementingkan diri demi kepentingan terbaik sukan itu.

Beliau mengakui terkejut namun pada masa sama kagum dengan cara ahli jawatankuasa berkenaan berundur.

"Adalah baik untuk melihat satu peletakan jawatan secara kolektif dan tidak mementingkan diri dilakukan atas nama solidariti dan bola sepak Malaysia. 

"Mereka meletakkan imej persatuan mengatasi kepentingan peribadi dan atas perkara itu, mereka wajar diberikan pujian," jelasnya. 

Mengulas peranan AFC dalam membimbing FAM melalui fasa peralihan ini, Windsor menegaskan bahawa walaupun proses pemilihan dan tanggungjawab berkanun akan dihormati sepenuhnya, fokus utama ketika ini adalah menjalankan semakan organisasi secara menyeluruh sebelum sebarang pemilihan diadakan.

"Proses pemilihan dan kewajipan berkanun akan dihormati sepenuhnya — itu bukan isu. 

"Namun, kami mahu menjalankan semakan organisasi secara menyeluruh sebelum mengadakan pemilihan. Pemilihan tidak seharusnya dilakukan semata-mata untuk menggantikan individu," ujarnya. 

Beliau menjelaskan FAM kini berada dalam fasa pertama program pembaharuan berstruktur yang diketuai oleh AFC, bermula dengan penilaian diagnostik bagi mengenal pasti jurang tadbir urus dan kelemahan struktur.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul — Facebook Asian Football

"Kami perlu memastikan garis masa adalah munasabah dan amalan terbaik dipatuhi. Ketika ini, kami berada dalam fasa diagnostik. 

"Sama seperti seorang doktor perlu menjalankan ujian sebelum merawat pesakit, kami perlu terlebih dahulu mengenal pasti jurang dalam FAM sebelum mencadangkan penyelesaian kepada Kongres," kata Windsor. 

Beliau menambah, antara tonggak utama proses pembaharuan itu ialah pemodenan statut FAM agar selari dengan piawaian tadbir urus AFC dan FIFA, khususnya dalam memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara pegawai yang dipilih dan pihak pentadbiran.

"Matlamat kami adalah untuk memodenkan statut selaras dengan piawaian AFC dan FIFA. Sebagai contoh, di AFC dan FIFA, presiden yang dipilih tidak menandatangani dokumen undang-undang atau kewangan; tanggungjawab tersebut terletak di bawah pentadbiran. Inilah tahap tadbir urus yang ingin kami perkenalkan di FAM," tambahnya lagi. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram