SERAMAI 119 peserta menyertai Golf Amal Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Bandar Tasik Puteri dekat Rawang, Selangor pada Sabtu.
Program amal itu dianjurkan bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Persatuan Kesejahteraan Amal Kuala Lumpur (AMAL) bagi mengumpul dana untuk pembangunan belia di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif YRMS, Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata, program berkenaan memberi peluang kepada golongan belia, khususnya yang kurang cenderung dalam bidang akademik, untuk memperoleh latihan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
BACA LAGI: Piala Media kini masuki kalendar tahunan Tasik Puteri Golf And Country Club
BACA LAGI: Kejohanan Golf Amal Selangor 2025 kutip RM1.2 juta bantu belia berisiko
Menurutnya, pendekatan itu terbukti membantu ramai remaja membina masa depan yang lebih baik walaupun tidak cemerlang dalam akademik.
“Fokus kami adalah menyantuni remaja yang mungkin tidak berjaya dari segi akademik. Ramai alumni yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini berjaya selepas menerima kemahiran yang bersesuaian.
“Ia bukan sahaja membantu masa depan mereka, malah memberi impak positif kepada keluarga serta pembangunan negara,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah program tersebut pada Sabtu.
Program berkenaan turut mendapat sokongan sektor korporat termasuk Mazda, Tenaga Nasional Berhad, Bermaz Auto, Kumpulan Semesta, Adidas dan F&N, sekali gus mencerminkan komitmen bersama terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan belia.

Tengku Amir Shah (dua dari kiri) yang juga Penaung Diraja YRMS berkenan berangkat ke majlis makan malam Golf Amal Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Bandar Tasik Puteri pada Sabtu. — Gambar Facebook Tasik Puteri Golf & Country Club
Pada majlis berkenaan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung Diraja YRMS berkenan berangkat ke majlis makan malam serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ikon bola sepak negara seperti Safee Sali, Farizal Marlias, Zaquan Adha, Razman Roslan dan Wan Zack Haikal yang menjadi sumber inspirasi kepada belia untuk mengejar kejayaan dalam bidang masing-masing.
YRMS yang ditubuhkan pada 2003 di bawah naungan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diteruskan oleh DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor sejak 2017, memberi tumpuan kepada pembangunan belia daripada latar belakang berpendapatan rendah.
Yayasan berkenaan menyediakan latihan berasaskan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan generasi muda yang berdikari dan berdaya saing.
Menurut Muhammad Syazwan, penganjuran golf amal itu bukan sekadar bertujuan mengumpul dana, sebaliknya menjadi platform strategik memperkasa belia dengan kemahiran bernilai tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Hasil kutipan sumbangan daripada program itu akan disalurkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program pembangunan belia di bawah YRMS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
