Lelaki boleh jadi pembawa virus kanser, pasangan disaran ambil vaksin HPV sebelum nikah — Pakar


  • Sihat
  • Isnin, 26 Jan 2026

Vaksin HPV wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada persediaan kesihatan pranikah kerana perkahwinan menandakan permulaan perjalanan kesihatan bersama.— Gambar hiasan janaan AI

VAKSIN Human Papillomavirus (HPV) semakin diiktiraf sebagai antara langkah pencegahan kesihatan awam paling berkesan bagi mengekang pelbagai jenis kanser berkaitan jangkitan virus, bukan sahaja dalam kalangan wanita malah lelaki.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohamad Nasir Shafiee berkata, vaksin HPV berfungsi dengan merangsang sistem imun tubuh menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang dikenal pasti sebagai punca utama prakanser dan kanser.

"Lebih 10 jenis HPV berisiko tinggi dikaitkan dengan kanser, termasuk HPV16 dan HPV18 yang paling kerap dikesan dalam kes kanser serviks. 

BACA LAGI: 'Terima kasih jadi penyelamat saya Nurse Syuhada', tangisan bayi terhenti dek sentuhan ikhlas ketua jururawat HTA

BACA LAGI: [VIDEO] Pelajar datang sekolah hanya berselipar, guru sanggup 'korbankan' kasut kesayangan

"Selain itu, jangkitan HPV turut menyebabkan kanser zakar, dubur serta tekak,” katanya kepada Majoriti.

Beliau menegaskan, vaksinasi HPV perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana penularan virus itu berlaku melalui sentuhan kulit ke kulit yang intim, termasuk hubungan seksual, walaupun individu tidak menunjukkan sebarang gejala.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Dr Mohamad Nasir Shafiee

'Persediaan pranikah'

Sehubungan itu, Dr Mohamad Nasir menegaskan, vaksin HPV wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada persediaan kesihatan pranikah kerana perkahwinan menandakan permulaan perjalanan kesihatan bersama.

"Ia mengangkat pencegahan sebagai tanggungjawab bersama. 

"Jika vaksin HPV mampu mencegah sehingga 90 peratus kanser serviks, maka keputusan ini jelas memainkan peranan besar dalam melindungi institusi keluarga," ujarnya.

Lelaki juga pembawa dan mangsa HPV

Jelas Dr Mohamad Nasir lagi, tanggapan bahawa HPV hanya isu kesihatan wanita disifatkan sebagai satu salah faham besar. 

Menurut beliau, kajian menunjukkan lelaki bukan sahaja boleh menjadi pembawa virus, malah berisiko mengalami jangkitan HPV yang berpanjangan dan berulang.

"Ia sekali gus meningkatkan risiko kanser berkaitan HPV dalam kalangan lelaki.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengiktiraf kepentingan vaksinasi lelaki kerana ia memberi perlindungan langsung terhadap kanser, selain mengukuhkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam masyarakat.

"Apabila lelaki dan wanita sama-sama divaksin, kadar penularan virus dapat dikurangkan secara signifikan," katanya.

Kajian menunjukkan lelaki bukan sahaja boleh menjadi pembawa virus, malah berisiko mengalami jangkitan HPV yang berpanjangan dan berulang. — Gambar hiasan janaan AI

Lindungi keharmonian rumah tangga

Selain kanser, jangkitan HPV juga boleh menyebabkan ketuat pada alat kelamin yang memberi kesan besar kepada individu dan pasangan termasuk kesakitan, perubahan anatomi dan rawatan berulang yang menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Justeru, vaksinasi awal terutama dalam kalangan lelaki muda dilihat mampu mengurangkan risiko komplikasi tersebut, sekali gus menyumbang pada kesejahteraan hubungan jangka panjang.

Umur sesuai, dos dan keselamatan vaksin

Vaksin HPV paling berkesan diberikan pada usia sembilan hingga 26 tahun, sebelum pendedahan kepada hubungan seksual. 

Dr Mohamad Nasir berkata, individu yang menerima dos pertama sebelum umur 15 tahun lazimnya memerlukan dua dos, manakala mereka yang berumur 15 tahun ke atas disarankan melengkapkan tiga dos bagi memastikan tindak balas imun optimum.

"Walaupun satu dos sudah menunjukkan perlindungan baik, mereka yang mahukan tahap keberkesanan lebih optimum boleh mengikuti saranan FDA iaitu dua hingga tiga dos,” katanya.

Dari sudut keselamatan, kajian menunjukkan vaksin HPV mempunyai tahap keselamatan tinggi tanpa kesan sampingan serius, dengan keberkesanan melebihi 90 peratus jika diberikan sebelum pendedahan HPV.

Perlindungan jangka panjang, saringan tetap perlu

Vaksin HPV berfungsi dengan merangsang sistem imun tubuh menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang dikenal pasti sebagai punca utama lesi prakanser dan kanser. — Gambar hiasan janaan AI

Perlindungan vaksin HPV dianggarkan bertahan antara 10 hingga 15 tahun dan setakat ini, suntikan penggalak tidak diwajibkan. 

Namun, penyelidikan masih dijalankan bagi menentukan keperluannya pada masa hadapan.

Di Malaysia, program vaksinasi HPV dilaksanakan lebih 15 tahun dan data jangka panjang sedang diperhatikan untuk menilai impaknya terhadap insiden kanser serviks dan prakanser.

Walaupun telah divaksin, wanita masih disarankan menjalani saringan kanser serviks secara berkala menggunakan ujian HPV DNA setiap lima tahun, selaras garis panduan kesihatan semasa.

Pencegahan menyeluruh tanggungjawab bersama

Kongsi Dr Mohamad Nasir, selain vaksinasi, langkah pencegahan lain termasuklah saringan HPV, amalan hubungan seks selamat, gaya hidup sihat serta mengelakkan merokok. 

Jelasnya, kaedah swasampel HPV juga semakin diterima kerana lebih peribadi dan mudah diakses.

"Paling penting, masyarakat perlu mendapatkan maklumat kesihatan daripada sumber sahih dan tidak terpengaruh dengan mitos di media sosial. 

"Kesihatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab setiap individu," maklumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram