'Terima kasih jadi penyelamat saya Nurse Syuhada', tangisan bayi terhenti dek sentuhan ikhlas ketua jururawat HTA


  • Tular
  • Khamis, 22 Jan 2026

Ketua Jururawat, Syuhada tampil membantu dengan penuh kelembutan apabila mengambil bayi _ashinity sebelum mendodoi sehingga bayi itu kembali tenang dan tertidur.

KEIKHLASAN seorang jururawat yang menenangkan bayi baru lahir sehingga tertidur di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur menyentuh hati ramai selepas kisah itu dikongsikan di media sosial.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, _ashinity, dia menceritakan detik cemas ketika bayi sulungnya dimasukkan ke Wad 10A HTA (wad kanak-kanak) beberapa minggu lalu.

Sebagai ibu pertama kali, katanya, perasaan sayu dan tidak berdaya menyelubungi diri apabila melihat bayinya terpaksa melalui pelbagai prosedur perubatan seperti cucukan dan sedutan kahak.

BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun

BACA LAGI: [VIDEO] 'The real Papa Zola', rider terpaksa kendong bayi sambil bekerja angkara faktor kewangan

"Malam itu bayi saya menangis tanpa henti dan langsung tidak mahu tidur, mungkin kerana kahak atau sebab lain.

"Saya benar-benar keletihan dari segi mental dan fizikal, rasa sudah tidak tahu apa lagi yang mampu saya lakukan,” luahnya.

 

 

Namun situasi bertukar apabila Ketua Jururawat, Syuhada tampil membantu dengan penuh kelembutan apabila mengambil bayinya, menyapu minyak di perut sebelum mendodoi sehingga bayi itu kembali tenang dan tertidur.

"Tindakan kecil itu sangat bermakna buat saya. Terima kasih kerana datang menyelamatkan saya pada saat saya benar-benar hilang arah. Semoga rezeki sentiasa murah," katanya.

Perkongsian itu mengundang reaksi positif warganet yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman sama dengan jururawat berkenaan.

Seorang pengguna, syhrhzmn, berpendapat jururawat tersebut wajar diberi pengiktirafan atas keikhlasan dan dedikasinya.

Sementara itu, vidztamom.15 mendakwa mengenali jururawat tersebut dan menyifatkannya sebagai individu yang menjaga pesakit seperti anak sendiri.

"Anak-anak saya pun dijaga oleh dia. Memang dia jaga sepenuh hati," katanya.

Pengguna lain, amirasy_ibrahim, turut berkongsi pengalaman serupa apabila jururawat sama mengambil bayinya ke kaunter dan meminta dia berehat kerana bayinya asyik menangis.

"Eh ini macam jururawat yang sama jaga anak saya. Situasi saya pun macam ini, bayi asyik menangis. Dia ambil anak saya bawa ke kaunter dan minta saya rehat," tulisnya.

Dalam ruangan komen, warga maya turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga jururawat atas pengorbanan mereka, malah ada yang mendoakan agar setiap perjalanan hidup golongan itu dipermudahkan.

Kisah tersebut sekali lagi membuktikan bahawa sentuhan ikhlas dan empati seorang jururawat bukan sahaja menyembuhkan pesakit, malah memberi kekuatan luar biasa kepada insan yang sedang diuji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram