MCMC tarik balik sekatan akses Grok berkuat kuasa Jumaat


  • Massa
  • Jumaat, 23 Jan 2026

MCMC menarik balik sekatan sementara terhadap aplikasi Grok, sekali gus membolehkan pengguna di Malaysia kembali mengakses aplikasi berkenaan mulai Jumaat. — Agensi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menarik balik sekatan sementara terhadap aplikasi Grok, sekali gus membolehkan pengguna di Malaysia kembali mengakses aplikasi berkenaan mulai Jumaat.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas menerima pengesahan bahawa platform media sosial X (Twitter) melaksanakan langkah pencegahan serta penambahbaikan keselamatan tambahan berkaitan penggunaan Grok, iaitu aplikasi sembang berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, pada 21 Januari lalu, MCMC mengadakan pertemuan bersama Kementerian Komunikasi serta wakil X bagi mendapatkan penjelasan dan jaminan berhubung pematuhan platform tersebut terhadap undang-undang di Malaysia.

BACA LAGI : 'Terima kasih jadi penyelamat saya Nurse Syuhada', tangisan bayi terhenti dek sentuhan ikhlas ketua jururawat HTA

BACA LAGI : ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun

"Sehubungan itu, selepas meneliti penjelasan serta jaminan awal yang dikemukakan, MCMC memutuskan untuk menarik balik sekatan akses sementara ke atas aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa," katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, MCMC mengumumkan sekatan sementara terhadap Grok pada 11 Januari susulan penyalahgunaan aplikasi berkenaan untuk menghasilkan kandungan lucah, seksual secara eksplisit serta imej manipulasi tanpa kebenaran, termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat pada Khamis memaklumkan MCMC menerima sebanyak 17 aduan berkaitan Grok. 

Beliau berkata, wakil X turut memberi jaminan bahawa aplikasi berkenaan tidak boleh disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan pornografi atau bersifat seksual.

Dalam perkembangan berkaitan, susulan bantahan daripada beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina, X mengumumkan pelaksanaan beberapa kemas kini keselamatan, termasuk langkah teknologi bagi menghalang Grok daripada menyunting imej individu sebenar dalam pakaian mendedahkan.

X turut memaklumkan bahawa sekatan tersebut terpakai kepada semua pengguna, termasuk pelanggan berbayar, selain melaksanakan sekatan geo (geoblocking) di negara yang mengharamkan kandungan sedemikian.

"Kami akan menyekat keupayaan semua pengguna di lokasi berkenaan daripada menjana imej individu sebenar dalam pakaian seperti bikini, pakaian dalam dan seumpamanya melalui Grok di X. 

"Langkah sekatan geo yang sama turut dilaksanakan untuk aplikasi Grok," menurut kenyataan X pada 15 Januari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram