KEJOHAHAN Piala Media kini memasuki kalendar tahunan Tasik Puteri Golf And Country Club (TPGCC) selepas penganjuran sulung acara melibatkan pertarungan antara wakil media tempatan dan pempengaruh berjaya mencapai matlamatnya.
Pengurus Besarnya, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, peserta dan rakan kongsi boleh menantikan pengalaman yang lebih bertenaga dan menarik apabila aktiviti dan penglibatan media bakal diperluaskan lagi.
Katanya, kejohanan itu menjadi acara kemuncak dalam kalendar golf dengan objektif menyatukan wakil media dan pencipta kandungan untuk mencipta impak yang lebih mendalam.
“Kejohanan itu merupakan detik penting buat kami ekoran pencapaian membanggakan selepas kami memperoleh dua gelaran utama kebangsaan tahun ini iaitu Padang Golf Awam Terbaik dan Destinasi Golf Pelancongan Terbaik di Malaysia melalui Anugerah Industri Tourism 2025.
Trofi Piala Media menjadi rebutan pada edisi sulung.
“Objektif kejohanan itu bertujuan mengeratkan hubungan, memupuk kerjasama dan menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh media dalam membentuk industri golf moden,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara sulung itu yang berlangsung pada Rabu itu melibatkan 40 pemain golf dibarisi 20 pemain Team Media Malaysia dan 20 pemain pempengaruh media sosial, Parvengers.
Parvengers memenangi kejohanan tersebut selepas mengumpul 328 mata berbanding 318 oleh Team Media Malaysia.
Parvengers menjuarai edisi sulung Piala Media 2025 anjuran TPGCC.
Menurut Nor Afendi, selain mempunyai padang golf 27 lubang, TPGCC menyediakan Villa Puteri yang menampung 14 bilik suite.
“Terima kasih kepada semua wakil media dan pempengaruh golf di atas sokongan berterusan,” katanya.
TPGCC boleh dihubungi melalui talian 03-6034 4721/22 atau emel ke [email protected] atau layari www.tasikputerigolf.com. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
