SEORANG ahli politik yang juga Datuk Bandar Shariff Aguak, Akmad Ampatuan terselamat daripada cubaan serangan berani mati menggunakan pelancar roket (RPG) pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian itu, Akmad tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dua pengiring keselamatannya cedera ringan, manakala tiga suspek penyerang maut ditembak oleh pihak berkuasa.
Insiden berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di Barangay Poblacion ketika kenderaan kalis peluru Toyota Land Cruiser yang dinaiki Akmad diserang sewaktu beliau dalam perjalanan pulang dari pasar.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah 'kungfu' pemain hingga parah, keeper liga bawahan Indonesia digantung seumur hidup
BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun
Pembantu Eksekutif Datuk Bandar, Anwar Kuit Emblawa mengesahkan Akmad berada dalam keadaan selamat.
"Datuk bandar selamat," katanya ringkas dalam kenyataan kepada media tempatan.
Video kejadian juga mula tular selepas anak Akmad, Hadji Oping Ampatuan memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laman media sosial miliknya.
Melalui video yang dikongsikan, menunjukkan dua lelaki bersenjata turun dari sebuah van putih sebelum melancarkan serangan.
Salah seorang suspek dilihat melepaskan tembakan RPG ke arah kenderaan Akmad, namun kenderaan berperisai itu terus memecut meninggalkan lokasi kejadian.
Menurut Emblawa, dua pengiring keselamatan, Manuel Arcega Dondiego serta Lakman Eso Tips mengalami kecederaan ringan di abdomen dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Serantau Bangsamoro di Datu Hoffer.
Susulan serangan itu, Polis Negara Filipina (PNP) bersama Batalion Infantri ke-90 Tentera Filipina melancarkan operasi memburu suspek.
Beberapa jam kemudian, suspek berjaya dikesan di Barangay Meta, Datu Unsay sebelum berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan tiga suspek maut.
Ketiga-tiga suspek dikenal pasti sebagai Budtong ‘Rap-Rap’ Alim Pendatun, Tekz Malid Pendatun dan Puasa Oting Madid.
Jurucakap Polis Wilayah BARMM, Kapten Steffi Salanguit mengesahkan serangan itu dirancang secara taktikal.
"Rakaman CCTV menunjukkan suspek keluar dari van, dengan seorang daripadanya membawa RPG. Walaupun berlaku kerosakan dan kepulan asap, kenderaan sasaran terus bergerak.
"Anggota kami bertindak pantas dan berani untuk mematahkan serangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Polis Perbandaran Shariff Aguak dalam satu kenyataan mengecam tindakan ‘perosak keamanan’ dan memaklumkan penemuan sepucuk pelancar RPG jenis B40 serta beberapa senjata api daripada kenderaan suspek.
Difahamkan, ini merupakan cubaan ketiga serangan terhadap Akmad sejak 2014.
Beliau pernah terselamat dalam serangan hendap pada 24 Disember 2014 di Guindulungan ketika menjawat jawatan Timbalan Datuk Bandar, namun dua pengiring keselamatannya terbunuh.
Dalam satu lagi serangan pada 24 Disember 2019 di Shariff Aguak, Akmad mengalami kecederaan manakala dua anggota keselamatan maut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
