TERENGGANU FC (TFC) mungkin memiliki kelebihan selesa 2-0, namun tiada ruang untuk leka apabila berdepan UM-Damansara pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Piala Malaysia pada Jumaat.
Pemain tengah berpengalaman, Akram Mahinan memberi amaran kepada skuad Penyu supaya kekal fokus sepenuhnya bagi mengelak kejutan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.
BACA LAGI: 'Takkan tiap tahun skrip sama?', TFC dipesan cari jurulatih 'sebenar' lepas singkirkan Badrul Afzan
BACA LAGI: ‘Dia mahu ke Piala Dunia’, CEO TFC jelaskan punca pemergian Nurillo
"Kami ada kelebihan dua gol yang baik, tetapi kami tidak boleh memandang ringan perlawanan ini.
"Mereka menyukarkan kami pada perlawanan pertama dan semua pemain sedar bahawa kejohanan Piala sering melahirkan kejutan. Sebagai contoh, Kuala Lumpur tewas 0-2 kepada Perak pada perlawanan pertama.
"Walaupun mempunyai kelebihan, kami tidak boleh terlalu yakin. Sama ada bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan, perlawanan Piala menuntut tumpuan sepenuhnya," kata Akram yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada Isnin lalu.
Skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan merakam kemenangan 2-0 ke atas pasukan Liga A1 Semi-Pro berkenaan di UM Arena, Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Kemenangan diraih menerusi pemain tengah Brazil, Rainderson da Costa yang menjaringkan gol solo menarik pada minit kelima, sebelum kapten UM merangkap pertahanan tengah, A. Shivan Pillay tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-78.
Di sebalik keputusan meyakinkan itu, skuad Penyu berdepan beberapa detik cemas apabila penyerang Nigeria, Thankgod Michael sentiasa menjadi ancaman kepada pertahanan mereka.
Dua tonggak baharu dari Tajikistan, iaitu pemain tengah Ehsan Panjshanbe dan penyerang Shervoni Mabatshoev juga masih menyesuaikan diri dengan saingan domestik.
"Mungkin pemain baharu tidak memberi impak yang diharapkan pada perlawanan pertama disebabkan cuaca dan keadaan.
"Kami pemain tempatan cuba sedaya upaya membantu mereka menyesuaikan diri dengan gaya permainan dan persekitaran di sini. Pasukan agak bergelut sejak Nurillo (Tukhtasinov) pulang ke Uzbekistan.
"Dia pemain tengah box-to-box yang berkualiti, tetapi Ehsan juga mampu memainkan peranan itu. Dia cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana sebelum ini beraksi di Asia Tengah seperti Tajikistan, Uzbekistan dan Iran," ujar Akram.
Secara peribadi, musim ini bukanlah mudah buat Akram yang sering digilirkan dalam barisan tengah.

Akram tampil dalam 16 perlawanan bersama TFC dengan musim ini. — Facebook/TFC
Akram yang dulu aktif mewakili skuad kebangsaan berkenaan telah tampil dalam 16 perlawanan di semua kejohanan, dengan 10 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.
Bekas pemain Kuala Lumpur yang menjulang Piala Malaysia pada 2021 itu mengakui situasi tersebut bukan mudah, namun memahami kepentingan untuk sentiasa bersedia apabila diperlukan.
"Bagi mana-mana pemain, minit permainan sangat penting. Semua orang mahu bermain, jadi saya tidak sepenuhnya berpuas hati kerana sering keluar masuk pasukan.
"Namun bola sepak adalah permainan berpasukan dan saya perlu bersedia dalam apa jua keadaan. Walaupun sebagai pemain gantian, saya perlu memberi impak. Dalam latihan, saya bekerja keras untuk cepat mendapatkan rentak dan memberi sumbangan setiap kali diturunkan," jelasnya.

UM Damansara juga berharap untuk mendapatkan kemenangan di bumi Gong Badak. — Facebook/UMDamansara
Sementara itu, penyerang UM-Damansara, Shafizi Iqmal Khirudin menegaskan pasukannya akan melakukan segala-galanya untuk mencipta kejutan walaupun berdepan tugas sukar.
"Pada perlawanan pertama, kami dihukum oleh kesilapan mudah. Corak permainan kami sebenarnya baik, tetapi kesilapan tersebut mengorbankan kami.
"Kami tahu apa yang dipertaruhkan pada perlawanan timbal balik. Kami perlu lebih menyerang dan agresif tanpa bola untuk mencipta peluang melalui serangan balas atau transisi," kata pemain berusia 26 tahun itu. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
