Pernah label diri sendiri gagal, rekrut baharu Selangor akui perubahan karier di India


  • Podium
  • Rabu, 21 Jan 2026

Boumous mengakui perpindahannya ke FC Goa di India membuka matanya untuk mengambil hal bola sepak secara lebih serius.

REKRUT kedua Selangor FC diperkenalkan pada Selasa apabila kelab itu mengalu-alukan kehadiran pemain kelahiran Maghribi, Hugo Boumous.

Pemain yang juga mempunyai pertalian darah Perancis itu sebelum ini menghabiskan tempoh lapan tahun di India dengan empat kelab diwakilinya di sana.

Sepanjang tempoh itu, arkitek berusia 30 tahun tersebut menikmati tempoh begitu baik dengan tujuh kejuaraan dikecapi, termasuk muncul juara Liga Super India (ISL) sebanyak dua kali.

BACA LAGI: Besarnya 3 impak Safuwan terhadap benteng Gergasi Merah

BACA LAGI: Lawan jadi kawan, 2 import Gergasi Merah rupanya pernah 'berentap' di Perancis

Boumous merupakan pemain baharu kedua diperkenalkan skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kedua. Instagram/Selangor FC

Reputasi begitu baik terbabit membuatkan Selangor FC mengambil keputusan berbelanja besar untuk mendapatkan khidmatnya dengan harapan jentera serangan pasukan menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, rata-rata penyokong Merah Kuning semestinya kurang mengetahui bahawa Boumous pernah mengalami kesukaran pada awal kariernya.

Perkara tersebut dikongsikannya sendiri kepada media Perancis, Ouest France pada 2020 ketika menceritakan isu disiplin meletakkan pemain itu di posisi sukar.

"Saya tidak pernah mengukuhkan diri dalam pasukan kerana tidak bersikap profesional ketika berusia 18 atau 19. Beberapa isu kecil menghukum saya.

Boumous mempunyai hubungan begitu baik dengan peminat bola sepak di India. Instagram/Hugo Boumous

"Semasa beraksi di liga bawahan Perancis, saya buktikan potensi untuk berjaya di sana. Tetapi, saya tidak memandangnya serius seperti mana sekarang," katanya.

Kisah dikongsikan itu membuka permulaan kisah Boumous bersama Stade Rennais FC sehingga memaksanya untuk kembali ke Maghribi dan menyertai Moghreb Tetouan dengan harapan isu disiplin dapat diatasi.

Namun, cabaran baharu dihadapi di negara Afrika tersebut apabila bayaran gaji lewat dan layanan buruk dari segi peribadi menjejaskan moralnya.

Menyedari perkara itu, Boumous kemudian memilih untuk berkelana ke India selepas diberi cadangan bekas jurulatihnya, Sergio Lobera yang menawarkannya peluang untuk ke FC Goa dan menandatangani kontrak tiga tahun.

Boumous diharapkan mampu membawa perubahan besar buat skuad Gergasi Merah. Instagram/Hugo Boumous

"Saya merupakan pemain asing pertama yang menandatangani kontrak jangka masa panjang dalam ISL, ia membuktikan mereka begitu yakin kepada saya," katanya.

Kepercayaan tersebut membuahkan hasil buat FC Goa apabila mereka memenangi liga, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) selain dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan setelah mencatatkan jumlah bantuan jaringan tertinggi.

Sejak itu, Boumous tidak menoleh ke belakang apabila setiap langkah diambil membuahkan hasil buatnya serta mana-mana pasukan diwakilinya.

Perubahan tersebut diharapkan mampu dibawa sehingga ke Selangor FC yang mengharapkan aura dan pengalaman bekas pemain Bawah 23 Tahun (B-23) Maghribi itu dapat mencipta perubahan positif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram