Tak sampai setahun di Iskandar Puteri, bek kental JDT dalam radar kelab Argentina  


  • Podium
  • Selasa, 20 Jan 2026

Pada Jun lepas, Silva menyertai JDT bagi menggantikan Murilo Henrique. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja aktif memperkukuh skuad, malah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa tonggak utama dalam jendela perpindahan Januari ini.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini telah membawa masuk tiga pemain import baharu iaitu penyerang sayap Yoga Cesar, sayap kanan Marcos Guilherme serta pemain tengah Rui Felipe bagi menambah variasi dan kualiti pasukan.

Selain itu, dua pemain tempatan turut kembali menyarung jersi JDT apabila Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba sah menyertai semula kelab itu selepas pernah beraksi bersama Harimau Selatan sebelum ini.

BACA LAGI: Kad merah, penalti tak dilayan pengadil buktikan karakter JDT tumpaskan Kuching City

BACA LAGI: Muncul watak penting JDT, kualiti padang lawan dugaan paling dahsyat bintang import Sepanyol

Namun, di sebalik kemasukan pemain baharu, JDT dijangka kehilangan khidmat pemain pertahanan kiri, Jonathan Silva yang dikhabarkan menjadi buruan sebuah kelab dari Argentina.

Difahamkan, Defensa y Justicia berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun berkenaan sekiranya pemain pertahanan mereka, Alexis Soto rasmi meninggalkan pasukan. 

Pengalaman dan kepakaran Silva di posisi bek kiri dilihat mampu mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Soto.

Tangkap layar hantaran Planeta Defensa.

"Sekiranya pemergian Alexis Soto dimuktamadkan, salah satu alternatif ialah Jonathan Silva, yang mana Defensa y Justicia telah bertanyakan mengenai syarat-syaratnya," lapor media Argentina, Planeta Defensa menerusi laman X.

Silva menyertai JDT bagi menggantikan Murilo Henrique, pertahanan kiri dari Brazil yang merupakan antara 11 pemain yang meninggalkan kelab itu pada penghujung musim 2024/25.

Untuk rekod, Silva pernah mewakili Argentina sebanyak dua kali di pentas antarabangsa selain memiliki koleksi kejuaraan yang mengagumkan sepanjang kariernya.

Antara trofi yang pernah dimenangi pemain itu termasuk LaLiga2, Argentine Primera Division, Cypriot First Division, Portuguese Cup serta Portuguese League Cup. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram