KEHILANGAN tujuh pemain warisan yang dikenakan hukuman penggantungan memberi tamparan hebat kepada kem Harimau Malaya, namun harapan baharu kembali menyinar apabila tiga calon pemain naturalisasi dilihat berpotensi menjadi sandaran utama menjelang Piala Asean Hyundai 2026.
Penyerang prolifik, Bergson da Silva; pertahanan tengah, Giancarlo Gallifuoco serta pemain sayap, Manuel Hidalgo kini menjadi sebutan dalam kalangan penyokong tanah air.
Ketiga-tiga pemain berkenaan diharap dapat menyarung jersi kebangsaan selepas difahamkan proses permohonan kerakyatan Malaysia mereka sudah mendapat kelulusan.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan : Palmero pemain pertama dibatal kontrak
BACA LAGI: Pastikan sahih sebelum ‘lamar’ Josh Robinson, ambil iktibar kisah 7 pemain warisan
Kehadiran dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Gallifuoco dari Kuala Lumpur (KL) City itu diyakini mampu mengurangkan kekecewaan susulan kemelut membabitkan pemain warisan sebelum ini.
Terdahulu, tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Holgado, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000).
Selain itu, tujuh pemain berkenaan juga digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, sekali gus menjejaskan perancangan jangka pendek skuad kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, undian Piala Asean Hyundai 2026 yang berlangsung di Jakarta menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama naib juara edisi lalu, Thailand, selain Filipina, Myanmar dan Laos.
Kejohanan edisi ke-16 itu dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos depan.
Sementara itu, Kumpulan A bakal menampilkan juara bertahan Vietnam bersama Singapura, Indonesia, Kemboja serta pemenang perlawanan kelayakan antara Timor Leste dan Brunei.
Berdasarkan undian tersebut, skuad negara tidak boleh mengambil mudah cabaran daripada Filipina, Myanmar dan Laos yang masing-masing berupaya memberi saingan sengit dalam peringkat kumpulan.
Piala ASEAN kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila dijenamakan semula sebagai Piala Asean Hyundai selepas Hyundai Motor Co memeterai perjanjian penajaan bersama Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
