Besarnya 3 impak Safuwan terhadap benteng Gergasi Merah


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jan 2026

Safuwan membuktikan nilai sebenarnya dalam skuad Gergasi Merah dalam dua perlawanan terakhir. — Facebook/Selangor FC

TIDAK boleh dinafikan bahawa barisan pertahanan Selangor FC musim ini begitu merisaukan selepas dibolosi 16 kali dalam Liga Super dengan angka itu merupakan yang tertinggi dalam kalangan empat pasukan teratas.

Masalah itu turut berjangkit hingga ke Asia apabila 15 gol dilepaskan menyaksikan kelab itu menamatkan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two di tangga tercorot.

Menyedari masalah tersebut, skuad Gergasi Merah memutuskan untuk memanggil semula Safuwan Baharudin yang sebelum ini dipinjamkan ke Lion City Sailors di Singapura.

BACA LAGI: 'Satu piala, Insya-ALLAH', rekomen TMJ buktikan kredibiliti Safuwan Baharudin bersama Selangor

BACA LAGI: Pulang awal ke Selangor, Safuwan-Agyrkwa tetap tak boleh beraksi lawan JDT

Safuwan menyertai Lion City Sailors secara pinjaman pada awal musim lalu. Facebook/Lion City Sailors

Bek tengah itu tidak perlu diperkenalkan lagi buat peminat kerana sepanjang lebih lima musim bersama Selangor FC, dia memainkan peranan begitu penting.

Kelantangan dalam menyusun barisan pertahanan serta pintar membuat bentesan merupakan antara kelebihan dimiliki pemain antarabangsa Singapura itu.

Ketiadaannya sepanjang separuh pertama musim 2025/26 jelas dirasai sehingga mendesak kelab Lembah Klang itu untuk memanggilnya semula.

Jelas, keputusan itu membawa keuntungan besar buat skuad Gergasi Merah apabila dalam dua perlawanan, Safuwan terus memainkan peranan penting.

Meskipun dua kali dibolosi ketika berdepan DPMM FC, anak-anak buah Kim Pan-gon di barisan pertahanan beraksi lebih terurus dan tidak begitu tergopoh-gapah.

Hal tersebut turut diakui peminat menerusi laman Facebook Bola Daily yang menjelaskan tiga kelainan dibawa pemain berusia 34 tahun itu.

Safuwan sudah beraksi dalam dua perlawanan sejak pulang dari pinjaman. Instagram/Safuwan Baharudin

"Walaupun Selangor memiliki pelbagai pilihan di bahagian pertahanan, prestasi konsisten serta pengalaman luas Safuwan menjadikannya antara pemain penting dalam perancangan Pan-gon. 

"Kehadirannya membawa ketenangan, kestabilan dan organisasi yang lebih baik di benteng belakang pasukan," tulisnya pada Khamis.

Tiga perkara ditekankan itu begitu penting kerana skuad Gergasi Merah tidak mempunyai pemimpin sejak kehilangan bek tengah berkenaan sebelum ini.

Sekiranya prestasi Safuwan dapat diteruskan, tidak mustahil sekiranya Selangor FC berjaya menamatkan kempen Liga Super di kedudukan kedua, sekali gus layak ke ACL Two musim depan.

Malah, kehadiran pemain itu membuka peluang pasukannya menambah koleksi kejuaraan dengan kelab itu masih bertanding dalam Piala Malaysia dan Piala Shopee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram