Keunggulan Chrigor Moraes kini sebaris Kane-Mbappe-Haaland


  • Podium
  • Isnin, 12 Jan 2026

Chrigor terus membuktikan kualiti dan kemampuannya bersama skuad Gergasi Merah musim ini. — Facebook/Selangor FC

IMPORT dari Brazil, Chrigor Moraes terus memaikan peranan penting buat skuad Gergasi Merah selepas menjadi watak utama ketika pasukannya menundukkan DPMM FC 5-2 dalam aksi di tempat lawan pada Sabtu.

Dalam pertembungan itu, penyerang berusia 25 tahun terbabit meledak empat gol bagi memastikan Selangor FC meraih tiga mata penuh dan membantu pengendali baharu, Kim Pan-gon memulakan kariernya bersama pasukan itu dengan langkah kanan.

Gol-gol yang dihasilkan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei itu sekali gus meletakkan Chrigor di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan 16 gol Liga Super.

BACA LAGI: 'Coach Kino yang pilih, trust the process', Chrigor Moraes sah ke Selangor FC

BACA LAGI: ‘Ini baru langkah pertama’, Pan-gon puji komitmen pemain Selangor, UltraSel

Empat gol dicetak di Brunei memastikan tiga mata milik skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Malah, secara keseluruhan, sumbangan penyerang tersebut buat Selangor FC adalah begitu memberangsangkan dengan 26 gol dan tujuh bantuan jaringan daripada 28 penampilan.

Statistik sebegitu meletakkannya sebagai antara pemain paling prolifik bukan hanya dalam negara, malah juga di pentas antarabangsa.

Berdasarkan catatan dikeluarkan laman transfermarkt, bintang Gergasi Merah itu berada sebaris dengan pemain bertaraf dunia seperti Kylian Mbappe dan Harry Kane dari segi sumbangan di hadapan gawang lawan.

Harry Kane yang kini bersama Bayern Muncih di Jerman mencatatkan 31 gol dan empat bantuan jaringan sementara Mbappe yang merupakan tonggak Real Madrid sudah mempunyai 29 gol dan lima 'assist'.

Chrigor berada dalam prestasi cemerlang sebaris dengan Harry Kane (kiri) dan Mbappe. Agensi

Malah, rekod Chrigor sepanjang musim ini turut mengatasi bintang Manchester City, Erling Haaland yang menjaringkan 26 gol dan mencipta empat bantuan jaringan.

Ini sekali gus menceritakan bagaimana tonggak Selangor FC itu berada dalam prestasi begitu membanggakan berbanding penyerang lain dalam Liga Super.

Jumlah jaringan atau bantuan gol Chrigor dapat ditambah baik selepas ini apabila pasukannya berdepan Negeri Sembilan FC di laman sendiri pada Rabu.

Sekiranya momentum itu dapat diteruskan, tidak mustahil jika dia mampu dinobatkan pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2025/26.

Untuk rekod, kali terakhir pemain dari skuad Gergasi Merah meraih pencapaian tersebut merupakan Ayron del Valle pada musim 2023 sebelum anugerah itu menjadi milik bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva pada kempen lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram