PERMULAAN cemerlang buat Kim Pan-gon dalam penampilan sulungnya sebagai jurulatih Selangor, namun pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan kemenangan bergaya tersebut hanyalah langkah pertama dalam perjalanannya bersama Red Giants.
Selangor membelasah Brunei 5-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada Sabtu lalu, sekali gus kekal di tangga keempat dengan 28 mata daripada 14 perlawanan.
Sementara itu, Brunei pula kekal di tempat ketujuh selepas menyaksikan rentetan empat kemenangan berturut-turut mereka berakhir di tangan Gergasi Merah.
BACA LAGI: Dakwa dibayar cecah RM150,000 sebulan, fans gesa pengurusan Selangor umum gaji Kim Pan-gon
BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi pengadilan ranapkan misi Selangor II balas dendam 'skuad abang'
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu terlebih dahulu memuji sokongan penyokong Selangor sebelum mengulas prestasi pasukan serta visinya bersama kelab berkenaan.
"Penyokong UltraSel sanggup datang jauh ke Brunei untuk menyokong kami dan saya amat menghargainya.
"Saya bangga dengan semua pemain atas apa yang telah mereka tunjukkan. Dalam tempoh hanya tiga hari, mereka mempamerkan semangat dan cara permainan Selangor.
"Kami melakukan perkara yang betul di atas padang. Taktik dan reaksi pemain sangat baik. Mereka berani walaupun berdepan keadaan padang dan situasi yang mencabar. Lawan juga kuat, namun kami kekal berdaya tahan.
"Bagaimanapun, ini hanyalah langkah pertama. Masih banyak yang perlu kami lakukan untuk membangunkan identiti permainan kami sendiri," kata Pan-gon yang membimbing kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai sebelum menyertai Selangor minggu lalu.
Pan-gon turut meluahkan rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada Selangor serta memainkan peranan dalam mengembalikan kegemilangan mereka dalam bola sepak Malaysia, khususnya dengan reputasi sebagai juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.
"Menjadi sebahagian daripada Selangor adalah sesuatu yang saya banggakan, lebih-lebih lagi apabila dapat menyumbang kepada pembangunan DNA kelab.
"Kemenangan itu penting, dan kemenangan pertama sentiasa bermakna," jelasnya.

Pan-gon kini menerajui Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC
Dalam perlawanan tersebut, penyerang Brazil, Chrigor Moraes meneruskan aksi cemerlangnya dengan menjaringkan empat gol masing-masing pada minit kelima, ke-10, ke-58 dan ke-90.
Penyerang berusia 25 tahun itu kini mendahului carta penjaring gol liga dengan 16 gol daripada 14 perlawanan.
Satu lagi gol Selangor dijaringkan oleh pemain tengah, Nooa Laine pada minit ke-48.
Gol saguhati Brunei pula disumbangkan oleh pemain sayap, Hakeme Yazid Said pada minit ke-41 dan pemain tengah Portugal, Miguel Oliveira pada minit ke-62. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
