Khabar duka di kem Sabah, dengarnya penyerang berbisa The Rhinos seberang Laut China Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jan 2026

Sabah FC berdepan kemungkinan kehilangan seorang lagi pemain apabila penyerang importnya, Ajdin Mujagic dilaporkan antara tonggak yang mungkin angkat kaki dan berhijrah ke Lembah Klang. —Facebook/sabahfc

KHABAR duka kembali menyelubungi kem Sabah FC apabila timbul spekulasi penyerang import mereka, Ajdin Mujagic bakal berhijrah ke pasukan Lembah Klang pada jendela perpindahan pemain kali ini.

Desas-desus itu tercetus selepas satu hantaran di laman Facebook milik Kelab Penyokong Selangor FC mendakwa penyerang kelahiran Bosnia tersebut semakin hampir untuk menyarung jersi Selangor FC, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong.

Spekulasi itu turut dikaitkan dengan dakwaan isu tunggakan gaji selama tiga bulan yang dikatakan melanda Sabah FC, selain beberapa pemain pasukan itu dipercayai akan meninggalkan kelab pada jendela perpindahan kedua Liga Super.

BACA LAGI: Kad merah, penalti tak dilayan pengadil buktikan karakter JDT tumpaskan Kuching City

BACA LAGI: Prestasi Sabah tak konsisten tapi Wilkin optimis The Rhinos mampu buat The City Boys 'menangis' di Likas

Penyerang import Sabah FC, Ajdin Mujagic (kanan) dilaporkan semakin hampir untuk menyarung jersi Selangor FC. Facebook/sabahfc

"Khabar sempoi bahasa menghantar isyarat ada ura-ura dalam jendela perpindahan ini menyaksikan kemasukan pemain baharu ke Selangor FC.

"Adakah ia benar atau sekadar cerita panas, ditambah pula dengan cerita tiga bulan belum dibayar gaji.

"Ada beberapa pemain kelab tersebut dikhabarkan akan beralih angin ke kelab baru pada jendela perpindahan kali ini," katanya.

Situasi tersebut semakin menguatkan andaian apabila Mujagic dilaporkan hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC, yang menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan Nooa Laine.

"Pemain import Sabah FC buat apa dekat Stadium MBPJ ? Tengok bakal pasukan baru beraksi ke?," kata Red Giants SFC, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa Mujagic semakin hampir menyarung jersi skuad Gergasi Merah.

Untuk rekod, jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2026, sekali gus membuka ruang kepada pergerakan pemain.

Sebelum ini, Sabah FC telah kehilangan dua tonggak penting apabila Daniel Ting dan Stuart Wilkin yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan.

Daniel Ting yang dipinjam daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), meneruskan karier bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC sehingga akhir musim 2025/2026, manakala Wilkin pula kembali ke pangkuan Harimau Selatan bagi memperkukuh jentera tengah juara bertahan Liga Super itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram