[VIDEO] Bukan hanya bola sepak, TMJ dedah pengadil ragbi Malaysia juga korup


  • Podium
  • Khamis, 15 Jan 2026

PDRM menewaskan Johor dengan keputusan tipis 18-17 dalam aksi dramatik di UM Arena pada Oktober lepas.

ISU integriti pengadil dalam arena sukan negara kembali menjadi bualan hangat apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menyuarakan dakwaan bahawa masalah ketidakadilan pengadilan bukan hanya membelenggu bola sepak Malaysia, malah turut menular ke sukan ragbi.

Pendedahan Tunku Ismail berkenaan seolah-olah membuka satu lagi lembaran persoalan besar mengenai tahap profesionalisme dan ketelusan sistem pengadilan sukan di negara ini.

Pendedahan itu dibuat TMJ ketika sesi soal jawab bersama penyokong apabila beliau meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan yang disifatkan tidak masuk akal.

BACA LAGI: Kongsi foto depan KLCC, adakah Bissoli pemain dimaksudkan TMJ?

BACA LAGI: 'Satu piala, Insya-ALLAH', rekomen TMJ buktikan kredibiliti Safuwan Baharudin bersama Selangor

"Mungkin ada ramai yang tak puas hati bila saya cakap ini. Saya rasa referee yang sebelum ini adalah korup dan oleh kerana itu, ia telah letakkan saya dalam satu kedudukan di mana saya nak bantu ragbi Johor secara peribadi.

"Because saya tengok final sampai tiga yellow card. Tak masuk akal, saya pun tak tahu apa yang berlaku," katanya menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Disember lalu.

Kenyataan tersebut hadir selepas aksi akhir Piala Agong 2025 yang menyaksikan PDRM mengekalkan status selaku kuasa besar ragbi negara selepas menewaskan Johor dengan keputusan tipis 18-17 dalam aksi dramatik di UM Arena, Kuala Lumpur.

Kemenangan itu sekali gus melengkapkan kejuaraan hatrik buat PDRM dalam saingan ragbi paling berprestij di Malaysia, membuktikan konsistensi serta ketahanan mental pasukan tersebut di pentas tertinggi ragbi tempatan.

 

 

Aksi final berlangsung sengit sejak wisel permulaan dengan PDRM lebih agresif untuk mendahului 11-10 pada separuh masa pertama.

Johor bagaimanapun bangkit pada babak kedua dengan corak permainan lebih tersusun sebelum merampas kelebihan menerusi satu 'try' menarik untuk mendahului 17-11.

Ketegangan memuncak pada tiga minit terakhir perlawanan apabila PDRM melancarkan siri serangan bertubi-tubi ke kubu Johor.

Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencipta try pada minit akhir sebelum sepakan tambahan memastikan kemenangan berpihak kepada Sang Saka Biru.

Antara aksi pemain PDRM ketika menentang Johor. — Malaysia Rugby

Sorakan penyokong PDRM bergema sebaik wisel penamat ditiup, menandakan kejuaraan ketiga berturut-turut buat skuad kendalian Dinesvaran Krishnan yang sekali lagi mempamerkan semangat juang luar biasa hingga ke detik terakhir.

Johor pula boleh berbangga dengan persembahan bertenaga yang hampir menamatkan dominasi PDRM, namun terpaksa akur dengan pengalaman serta ketenangan pasukan lawan.

Sebagai juara, PDRM membawa pulang trofi Piala Agong 2025 bersama hadiah wang tunai RM20,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram