KEBIMBANGAN melanda segelintir ibu bapa apabila menyedari anak yang masih di bangku sekolah rendah mula mengeluarkan bau badan yang kurang menyenangkan, sehingga ada menyangka cahaya mata mereka mengalami fasa akil baligh pramatang.
Pakar perubatan menjelaskan bahawa bau badan pada kanak-kanak sebenarnya adalah fenomena biasa yang tidak semestinya bermaksud proses baligh telah bermula.
Lazimnya, bau ini berpunca daripada interaksi antara peluh dan bakteria pada permukaan kulit yang memecahkan protein serta lemak sehingga menghasilkan aroma yang kuat.
BACA LAGI: Lelaki guna AI menyamar jadi wanita di 'apps' cari jodoh, raih pendapatan hampir RM10 ribu
BACA LAGI: Jepun 'tawar' akses, sokongan ke dewan teater, pameran seni buat golongan OKU, tangani diskriminasi
Manusia mempunyai dua jenis kelenjar peluh iaitu kelenjar ekrin yang berfungsi menyejukkan badan, serta kelenjar apokrin di bahagian ketiak dan pangkal paha.
Kelenjar apokrin itu merembeskan peluh lebih pekat yang menjadi punca utama bau badan apabila bertindak balas dengan bakteria.
Fenomena itu sering dikaitkan dengan adrenarche, iaitu proses semula jadi kelenjar adrenal mula aktif menghasilkan hormon androgen seperti DHEA pada usia antara enam hingga lapan tahun.
Perlu ditekankan bahawa adrenarche bukanlah fasa baligh kerana ia tidak melibatkan perkembangan payudara atau pembesaran alat sulit.
Selain perubahan hormon adrenal, bau badan juga boleh dicetuskan oleh faktor luaran seperti pengudaraan yang lemah, pemakaian baju daripada fabrik sintetik yang memerangkap peluh, serta pengambilan makanan beraroma kuat seperti bawang putih dan rempah-ratus.
Pakar hanya akan memberikan perhatian serius sekiranya bau badan tersebut hadir bersama tanda-tanda baligh awal yang lain.
Antaranya termasuklah pertumbuhan payudara bagi kanak-kanak perempuan sebelum usia lapan tahun atau pembesaran testis bagi kanak-kanak lelaki sebelum usia sembilan tahun.
Ibu bapa juga perlu berwaspada jika anak mengalami lonjakan ketinggian secara mendadak yang luar biasa berbanding rakan sebaya, pertumbuhan bulu ari-ari yang kasar, jerawat yang teruk, serta perubahan suara menjadi lebih garon atau dalam bagi kanak-kanak lelaki.
Sekiranya hanya bau badan sahaja yang dikesan tanpa tanda-tanda fizikal lain, ibu bapa dinasihatkan agar tidak terlalu bimbang.
Langkah awal yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan rutin kebersihan diri seperti mandi dengan lebih kerap terutamanya selepas bersukan.
Penggunaan deodoran adalah selamat untuk kanak-kanak, namun disarankan untuk memilih produk bebas wangian atau jenis bebola (roll-on) bagi mengelakkan iritasi kulit.
Berbeza dengan antipeluh yang menyumbat kelenjar, deodoran hanya berfungsi membunuh bakteria atau menutup bau.
Selain itu, pemilihan pakaian daripada material kapas yang longgar serta memastikan bahagian ketiak dikeringkan dengan sempurna selepas mandi amat membantu dalam mengurangkan masalah ini. Galakkan juga anak-anak meminum air kosong dengan secukupnya untuk mencairkan peluh.
Paling utama, ibu bapa perlu mendekati anak-anak dengan cara yang lembut dan tidak memalukan mereka ketika membangkitkan isu bau badan. Anggaplah ia sebagai proses pembelajaran kemahiran pengurusan diri dan bukannya satu hukuman atau perkara yang menjijikkan.
Secara keseluruhannya, bau badan adalah sebahagian daripada proses pembesaran yang normal. Walau bagaimanapun, jika terdapat keraguan atau muncul tanda-tanda kerisauan seperti yang dinyatakan, segera dapatkan nasihat daripada pakar pediatrik atau pakar endokrinologi kanak-kanak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
