SASARAN cukup besar diletakkan Selangor FC bagi baki musim 2025/26 selepas pelaburan besar-besaran dibuat untuk membawa masuk ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon.
Kehadiran bekas pengendali Harimau Malaya tersebut diharapkan mampu membawa perubahan ketara memandangkan khabar angin menyebut gaji mencecah ratusan ribu dilaburkan.
Tidak cukup dengan itu, skuad Gergasi Merah turut berbelanja besar untuk merombak pasukan dengan import dari Perancis, Mahame Siby menjadi pemain baharu dibawa masuk bagi jendela kali ini.
BACA LAGI: Saya sedia keluar dari zon selesa — Mahame Siby
BACA LAGI: Biar lambat asalkan selamat, Mamadou Diarra mungkin 'jawapan' terbaik Selangor
Pemain tengah bertahan tersebut tiba dengan reputasi cukup baik kerana pernah beraksi di kelab-kelab besar sekitar Eropah, termasuk pasukan di negara kelahirannya.
Ini termasuk FC Martigues yang merupakan pasukan di divisyen kedua Perancis dengan Siby sempat beraksi hampir setahun di kelab berkenaan.
Menariknya, ketika bersama pasukan itu, pemain berusia 29 tahun terbabit pernah bertemu seorang rakan sepasukannya yang baharu iaitu Mamadou Diarra sebanyak dua kali.
Pertemuan pertama berlaku ketika import baharu Selangor FC itu masih beraksi buat SC Bastia sementara bek Gergasi Merah itu bersama Grenbole Foot 38.
Aksi liga kedua Perancis itu menyaksikan kemenangan berpihak kepada Siby yang meskipun hanya beraksi 19 minit, dia berjaya menghalang gawang sendiri daripada dibolosi.

Sedutan daripada perlawanan antara Martigues (Siby) dan FC Grenoble 38 (Diarra).
Selepas itu, kedua-dua pemain Gergasi Merah berkenaan sekali lagi bertemu, namun kali ini Siby sudah berkelana ke FC Martigues dengan aksi terbabit masih berlangsung dalam divisyen kedua Perancis.
Tetapi, kali ini, tiga mata menjadi milik Grenoble Foot 38 dan Diarra yang merekodkan kemenangan 4-0 dengan ia menjadi kali terakhir dua pemain itu bertemu.
Takdir seakan-akan berpihak buat Siby dan Diarra apabila mereka akan berada dalam Selangor FC memasuki separuh kedua musim 2025/26.
Sumbangan kedua-dua import itu sememangnya diharapkan penyokong Merah Kuning yang mahu menyaksikan gawang mereka tidak begitu mudah dibolosi selepas ini.
Untuk rekod, Diarra menyertai skuad Gergasi Merah dengan dia pada awalnya didaftarkan sebagai import bagi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Bagaimanapun, selepas persembahan cukup memberangsangkan ketika berdepan Persib Bandung, dia kemudiannya didaftarkan ke dalam skuad domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
