DARREN Fletcher mengakui yang dia pergi mendapatkan 'restu' bekas pengurus, Sir Alex Ferguson sebelum mengendalikan Manchester United.
Bekas pemain tengah The Red Devils itu mengambil alih tugasan sebagai pengendali United secara sementara selepas kelab itu memecat Ruben Amorim.
Fletcher merupakan pengendali skuad bawah 18 tahun kelab itu.
BACA LAGI: Cemerlang di peringkat antarabangsa, Syahir Rosdi diiktiraf Tekong Terbaik Dunia
BACA LAGI: Seri lawan Fulham, Wirtz terkejut jaringannya dikira pengadil

Fletcher (kiri) merupakan orang penting Ferguson di bahagian tengah semasa karier bermainnya.
Menurut Fletcher, dia sudah pun bertemu pengurus legenda itu semasa perlawanan antara United dengan Leeds United pada Ahad lalu.
Kata bekas pemain antarabangsa Scotland itu, dia berbuat demikian kerana tidak mahu tersilap langkah dalam tindakannya.
"Saya tidak suka membuat keputusan besar tanpa bercakap kepada Sir Alex Ferguson.
"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia, jadi saya mahu bercakap dengan dia dahulu dan mendapatkan restu daripadanya. Pada saya, dia wajar dihormati sebegitu.
"Apabila menjadi staf kelab, ia adalah satu tugas untuk lakukan yang terbaik untuk Manchester United. Ia adalah satu perkara yang saya mahu cuba dan percaya setiap hari, itulah yang dia katakan kepada saya," jelas Fletcher.
Fletcher akan mengendalikan perlawanan United bertemu Burnley pada pagi Khamis, waktu Malaysia dan dia dijangka terus mengemudi kelab itu semasa aksi Piala FA Inggeris berdepan Brighton & Hove Albion, pagi Isnin waktu Malaysia.
Dengan waktu persiapan yang singkat, Fletcher mengakui yang dia tidak banyak masa untuk berjumpa dengan para pemain skuad senior United.
Beberapa pemain penting seperti Bruno Fernandes, Matheus Cunha, Benjamin Sesko dan Senne Lammens antara yang sudah ditemuinya.
United kini aktif dalam mencari pengganti Amorim dengan pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner merupakan calon utama bagi jawatan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
