Jangan normalisasi kata-kata berbaur rasis — Penang FC


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Azlan Johar bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan seperti mana dilakukan ketika membuat ulasan tempoh hari.

ARENA bola sepak tempatan dikejutkan baru-baru ini apabila pengulas ternama, Azlan Johar menggunakan kata-kata tidak sensitif ketika aksi antara Penang FC dan Selangor FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Dalam ulasan dibuat, bekas pemain negara berkenaan mengungkapkan kata-kata berbaur rasis terhadap penyerang tuan rumah, Tchetche Kipre ketika masalah lampu di venue perlawanan.

Meskipun ungkapan itu dibuat dengan nada gurauan, ia sudah cukup untuk membakar api kemarahan dalam kalangan penonton yang tidak mahu berkompromi dengan bab perkauman.

BACA LAGI: 'Bersikap rasis perbuatan bodoh', tonggak Jordan kecewa jadi mangsa 'hinaan' coach Sabah FC

BACA LAGI: [VIDEO] Bek baharu JDT pernah makan penampar bintang PSG lepas didakwa ejek Neymar 'monyet'

Kesal akan kata-kata diluahkan, Azlan tampil memohon maaf atas kekhilafan dilakukan menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sesungguhnya saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas isu ulasan menyentuh sensitiviti semasa siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Super antara Penang FC dan Selangor FC.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak sengaja dan terlanjur kata-kata ketika mengulas perlawanan tersebut. Dengan ini, saya ingin membuat permohonan maaf kepada pihak RTM, Penang FC dan Tchetche Kipre," tulisnya.

Pengulas sukan itu turut menegaskan bahawa kesilapan sebegitu tidak akan berulang di samping bakal sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme sebagai pundit.

Hantaran terbabit dibuat dan kemudian dikongsikan di pelbagai platform media sosial, termasuk menerusi laman Penang Brotherhood.

"Saudara Azlan Johar juga dikhabarkan sudah menghubungi Tchetche Kipre sendiri untuk memohon maaf. Diharap perkara ini menjadi tauladan dan tidak berlaku lagi di masa akan datang," tulisnya.

Setakat ini, Kipre yang menjadi bahan jenaka dalam insiden ulasan itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan di laman media sosial peribadinya.

Dalam pada itu, Penang menyatakan kehampaan mereka atas apa yang dilakukan oleh Azlan terhadap Kipre.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Selasa, Penang berharap perbuatan tersebut dijadikan perkara normal dalam masyarakat kita sejajar menghormati prinsip kelima Rukun Negara iaitu "kesopanan dan kesusilaan."

"Kesopanan dan Kesusilaan ialah prinsip kelima Rukun Negara Malaysia yang menekankan tingkah laku berbudi bahasa dan saling menghormati antara individu dalam masyarakat majmuk, dan apa-apa kata-kata berbaur rasis hendaklah ditolak dengan sepenuhnya dan tidak harus dinormalisasikan," ujar kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram