Mabella berehat lama, Terengganu FC perlu pertimbang sambar 3 bintang lokal isi kehilangan


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Kehilangan Mabella sudah tentu menjadi tamparan hebat buat skuad Sang Penyu memasuki separuh kedua musim. — Facebook/Terengganu FC

NASIB malang terus menimpa skuad Sang Penyu apabila pada Sabtu lalu, mereka mengesahkan Yann Mabella akan terpaksa disisihkan akibat kecederaan menimpanya.

Penyerang itu difahamkan mengalami kecederaan serius meniskus (otot lutut) dan Chronic Medial Collateral Ligament Injury (MCL) yang memaksanya berehat bagi tempoh masa panjang.

Kehilangan pemain dari DR Congo itu pasti akan menyulitkan lagi musim buat Terengganu FC selepas dia muncul tonggak utama pasukan dengan 11 gol dan dua bantuan direkodkan sebelum cedera.

BACA LAGI: Yann Mabella perlukan sebulan untuk pulih, sasar turun aksi lawan Kuching City

BACA LAGI: Bergson, Ronald Ngah, Mabella bersaing gelaran 'kadar penyudah' paling tinggi di Liga Super

Jadi, dengan jendela perpindahan hampir dibuka, skuad Sang Penyu perlu segera mencari solusi untuk menutup kehilangan import berusia 29 tahun itu.

Usaha itu dijangka berdepan kesukaran kerana setiap kali tempoh pendaftaran baharu tersebut dibuka, pemain dibawa masuk Terengganu FC tidak menepati standard ditetapkan.

Dalam mengelak isu sedemikian, pasukan Pantai Timur itu boleh menimbangkan penyerang tempatan yang lebih mudah untuk dinilai dan tidak memerlukan masa lama menyesuaikan diri.

Berdasarkan penilaian, terdapat tiga calon boleh ditandatangani Terengganu FC sebagai pelan jangka masa pendek bagi mengisi kehilangan Yann Mabella.

1. Shahrel Fikri Mohd Fauzi

Perpindahan bekas penyerang negara, Shahrel Fikri Mohd Fauzi dari PDRM FC ke Melaka FC menerima respons hangat apabila penyokong teruja melihat impak bakal dibawanya.

Bagaimanapun, setakat ini, pemain berusia 31 tahun itu terus bergelut mencari momentum apabila belum melakar sebarang gol mahupun mencipta peluang jaringan buat rakan sepasukan.

Kegagalan membawa sebarang pulangan itu boleh dikatakan berpunca daripada ketumpulan barisan hadapan skuad Hang Jebat yang terus bergelut di Liga Super.

Shahrel Fikri belum mencetak sebarang jaringan bersama skuad Hang Tuah. Facebook/Melaka FC

Jadi, sekiranya Shahrel Fikri mahu mencari suasana baharu, dia boleh memilih untuk mencari kelab baharu dengan Terengganu FC merupakan antara destinasi terbaik.

Statusnya sebagai pemain lokal tidak akan mengganggu kuota import skuad Sang Penyu yang mungkin akan menggunakan lebihan slot itu di posisi lain.

Malah, Shahrel Fikri yang cukup berpengalaman dalam Liga Super boleh membantu skuad bimbingan Badrul Afzan Razali untuk merebut tempat ke pentas Asia musim depan.

2. Romel Morales

Ketika ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki lambakan pilihan di posisi serangan meskipun kehilangan Joao Figueiredo akibat penggantungan.

Hal tersebut sekali gus memberi kesan terhadap peluang penyerang naturalisasi, Romel Morales yang sehingga kini hanya sempat beraksi lapan kali.

Tetapi, rekodnya di hadapan pintu gol masih cukup baik kerana dia sudah mencatatkan enam jaringan secara keseluruhan dan sempat mencipta dua gol buat rakan sepasukan.

Morales perlu berada dalam kesebelasan utama secara lebih kerap. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Catatan sebegitu menjadikannya layak untuk menjadi ayam tambatan sesebuah pasukan, lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak ketandusan pilihan dalam jentera serangan.

Terengganu FC semestinya boleh menjanjikan minit permainan lebih kerap buat pemain kelahiran Colombia itu sekiranya pihak pengurusan JDT membenarkannya berkelana secara pinjaman.

Hubungan baik antara kedua-dua kelab ternama Liga Super tersebut membolehkan perpindahan itu dimeterai kerana JDT sudah berkali-kali meminjamkan pemain mereka ke kelab Pantai Timur itu.

3. Jordan Mintah

Umum mengetahui bahawa sebelum beraksi buat Kuching City FC, Jordan Mintah terlebih dahulu mencipta nama dalam Liga Super bersama Terengganu FC.

Bagaimanapun, pada pertengahan musim 2023, penyerang kelahiran Ghana itu bertindak meninggalkan skuad Sang Penyu selepas bertebaran khabar angin menyatakan terdapat salah faham antaranya dengan bekas pengendali, Tomislav Steinbruckner.

Perpindahan itu boleh dikatakan sebagai titik perubahan buat pemain berkenaan apabila dia sudah merekodkan 16 gol dan dua bantuan jaringan daripada 37 penampilan di Borneo tanah air.

Mintah pasti terbuka untuk kembali ke pangkuan Terengganu FC. Facebook/Kuching City FC

Tetapi, musim ini, Mintah berdepan persaingan hebat di posisi serangan memandangkan Aidil Sharin Sahak lebih gemar menagih khidmat Ronald Ngah Wanja.

Sekiranya penyerang naturalisasi baharu negara itu mahu beraksi lebih kerap, dia boleh memilih untuk menyertai Terengganu FC pada jendela perpindahan akan datang.

Kehadirannya juga sudah tentu dialu-alukan peminat yang masih mengingati tempoh pernah dihabiskan bersama skuad Sang Penyu selama hampir empat musim bermula 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram