'Ubi muda' Brunei kekal rendah diri, jadikan abang sebagai idola


  • Podium
  • Isnin, 05 Jan 2026

Hakeme (kiri) setakat ini sudah mencetak dua gol dan dua bantuan jaringan dalam enam aksi Liga Super dia diturunkan. — Facebook/DPMMFC

PENYERANG sayap DPMM FC, Hakeme Yazid Said terus mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super apabila muncul antara bakat muda paling menyerlah musim ini hasil permulaan cemerlang bersama Brunei.

Pemain berusia 22 tahun itu mengesahkan statusnya sebagai tonggak penting pasukan selepas meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas PDRM FC pada aksi di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu lalu, sekali gus menghadiahkan Brunei kemenangan liga keempat berturut-turut.

Secara keseluruhan, Hakeme sudah menjaringkan dua gol daripada enam penampilan liga musim ini, satu catatan yang mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek muda paling berbahaya dalam liga.

BACA LAGI: [VIDEO] Berdepan Brunei, 'malapetaka' menanti seluruh Sarawak jika tidak ambil iktibar final Piala Malaysia 1999

BACA LAGI: Muncul penjaring gol sedekad lepas, bekas import Sang Penyu imbau semula kebangkitan benam Brunei

Hakeme membuka tirai jaringan pada minit ke-45 selepas menyambut hantaran tandukan penyerang Australia, Jordan Murray sebelum melepaskan rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang melantun deras menewaskan penjaga gol PDRM FC, Nur Hakim Hamidun.

Dia melengkapkan dua gol peribadi pada minit ke-86 menerusi penyudah mudah hasil umpanan rendah pemain tengah Ghana, Prosper Boakye.

Murray turut mencuri perhatian apabila menjaringkan gol voli menarik pada minit ke-69 hasil hantaran pemain bek sayap, Tommy Mawat Bada yang disifatkan seakan-akan gol ikonik Thierry Henry ketika menentang Manchester United pada tahun 2000.

Skuad Sang Saka Biru memperoleh satu gol saguhati menerusi rembatan jarak jauh Fakhrul Azim Zulphatah yang menewaskan penjaga gol Brunei, Haimie Nyaring.

Hakeme, yang berasal daripada keluarga bola sepak terkenal di Brunei mengakui banyak menerima manfaat daripada bimbingan abangnya, Shah Razen Said, penjaring terbanyak liga musim 2006–2007 dengan 21 gol dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brunei bersama Azwan Ali Rahman.

"Saya terhutang budi kepada abang saya atas segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikannya," kata Hakeme yang sudah mengumpul 23 kaps antarabangsa dan membuat debut profesional seawal usia 16 tahun pada 2019.

Walaupun berada pada prestasi terbaik, Hakeme kekal merendah diri dan menegaskan fokus utamanya adalah untuk terus memperbaiki permainan.

"Saya masih lapar untuk belajar dan berkembang kerana potensi peningkatan saya masih sangat besar," jelasnya. 

Ketika ini, Brunei menghuni tangga ketujuh liga dengan 17 mata daripada 13 perlawanan dan akan berusaha meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada 10 Januari ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram